Wednesday, August 27, 2014

Hasrat Wan Azizah jadi MB kabur



Abdul Khalid Ibrahim mengadakan sidang akhbar berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, semalam. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi (kanan). - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 26 Ogos - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahukan Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar dilihat kabur apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meneruskan tugasnya sehingga peralihan kuasa jawatan itu diselesaikan.
Abdul Khalid dalam sidang akhbarnya di sini berkata, beliau akur dengan titah Sultan Selangor itu meskipun sebelum ini menyembah perkenan untuk meletak jawatan ketika menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Bagaimanapun, jelasnya, baginda memutuskan untuk menangguhkan peletakan jawatannya selain menitahkan setiap pemimpin Pas, PKR dan DAP masing-masing mencadangkan tidak lebih daripada empat nama untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikannya.
"Ini tatacara yang pernah dilakukan oleh pihak Istana Selangor termasuklah dalam pelantikan Menteri Besar semasa negeri ini di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN)," katanya yang enggan mengulas tempoh masa beliau akan terus kekal jawatan berkenaan.
Pada masa sama, ketika ditanya mengenai kriteria individu untuk dilantik sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid menjelaskan, pihak istana mempunyai pandangan sendiri mengenai perkara itu yang sudah tentunya selari dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta konvensyen yang menjadi amalan di negeri ini.
Terdahulu, Abdul Khalid ketika membacakan kenyataan rasminya menegaskan, keyakinan beliau terhadap kebijaksanaan Sultan Selangor dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu jawatan Menteri Besar sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam negeri ini.
Malah, beliau turut memohon maaf kepada Sultan Selangor ekoran suasana politik yang menyebabkan pihak istana terheret dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri khususnya melibatkan isu jawatan Menteri Besar.
"Saya berharap semua pihak terutama ahli politik, media dan pengguna media sosial mengelak daripada membuat kenyataan atau kritikan yang menjurus kepada niat untuk memperkecil-kecilkan peranan mana-mana pihak terlibat terutama institusi beraja dan Raja-Raja Melayu," tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang sehingga baginda memutuskan pelantikan Menteri Besar baharu.
"Saya tidak akan buat apa-apa keputusan (sama ada kekal atau mengosongkan kerusi DUN) sehingga baginda membuat keputusan.
"Walau bagaimanapun, dalam keadaan ini, saya teruskan kedudukan dan tugas saya sebagai ADUN Pelabuhan Klang," ujarnya.
Abdul Khalid sebelum itu tiba di pekarangan Istana Bukit Kayangan pada pukul 2.20 petang bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Pertemuannya dengan Sultan Selangor berakhir pada pukul 4.30 petang apabila kenderaan rasmi Abdul Khalid beredar meninggalkan istana untuk ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi mengadakan sidang akhbar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140827/po_01/Hasrat-Wan-Azizah-jadi-MB-kabur#ixzz3BpSncngf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment