Wednesday, August 27, 2014

Najib vs Mahathir: Khairy sokong siapa?


WAN NORDIN WAN YAACOB | .
PERTENGAHAN September ini lebih ramai pemimpin akar umbi dan pertengahan dijangka akan menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad memastikan gelombang menurunkan Presiden, Dato' Seri Najib Tun Razak yang lemah bakal menjadi realiti.

Meskipun Dr Mahathir menyebut bahawa kritikannya itu bukan untuk menjatuhkan Najib, sebaliknya di peringkat akar umbi dan kepimpinan pertengahan merasakan mereka tidak lagi selesa dengan kelibat Najib yang dikuasai Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kalau setakat hal pentadbiran sedikit mencampuri ia tidak datang kesan, tetapi hal pentadbiran Umno dan negara habis semuanya boleh dikatakan ada campur tangan yang menyebabkan Najib semakin lemah," kata sumber itu yang bergiat aktif dalam mempropagandakan pemikiran ahli untuk bangkit mengkritik kepimpinan Najib.

Dalam satu blog pro-Mahathir pula menyebut, "Sudah acap kali kita mendengar teguran Mahathir sejak pemerintahan Najib.

"Najib kelihatan seperti tidak sedar diri, dirinya seolah-olah terlalu sibuk mengejar glamour. Apa sahaja teguran kepada Najib langsung tak diendah, malahan kelihatan juga kaki  pengampu akan bersedia  mempertahankan Najib," katanya.

"Mungkin juga sudah dibayar, maklumlah siapa yang menjadi Menteri Kewangan? Najib, dia boleh menggunakan saluran wang untuk mengekalkan kedudukannya seperti mana kita lihat apa yang terjadi kepada calon-calon yang bertanding dalam perebutan kerusi tertinggi Umno yang lepas," kata blog darah-satria.blogspot.com dipetik.

Sementara ramai dalam kalangan kepimpinan anak muda di bahagian dan negeri mula menyatakan rasa tidak selesa mereka dengan sikap Najib dalam mentadbir parti.

"Cuma saya tak tahulah dalam hal ini Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin duduk di posisi mana, sebab tak nampak lagi dia mengulas dalam isu Najib-Mahathir ini.

"Yang mungkin boleh saya katakan adalah, Khairy juga ada persepsi lain terhadap Tun Mahathir sebab bekas Perdana Menteri itu pernah jadikan beliau sasaran ketika menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi," kata Razman yang juga aktivis pemuda di peringkat bahagian di Negeri Sembilan.

Khairy mempunyai sejarah hitam dengan Dr Mahathir apabila bekas Presiden Umno itu menjadikan beliau sasaran dalam krisis tahun 2007 hingga 2009.

Khairy yang dilabel sebagai budak 'tingkat empat' oleh Mahathir yang mempengaruhi Abdullah dalam pemerintahan sepanjang tahun 2004 hingga 2009 dibalun seteruknya dan dikatakan menjadi antara punca Abdullah terpaksa melepaskan jawatan.

Kini Khairy dipilih Najib menganggotai kabinetnya selaku Menteri Belia dan Sukan selain Ketua Pemuda Umno yang mengalahkan Dato' Mukriz Mahathir.

Mukriz adalah satu-satunya aset yang ditinggalkan Mahathir untuk kelangsungan politiknya selepas bersara. Namun kelibat Mukhriz kurang mendapat sambutan daripada kalangan akar umbi.

Najib pula tidak peka dengan permasalahan akar umbi Umno yang kini semakin meradang apabila pelbagai projek pembangunan katanya disusun rapi oleh orang-orang keliling Rosmah.

Isu kaitan antara usahawan karpet, Deepak Jaikishen dengan Rosmah sedikit sebanyak memberi gambaran buruk kepada ahli bagaimana isteri Perdana Menteri itu dilihat memberi imej negatif kepada parti.

Terdapat desakan di peringkat bawah agar kepimpinan yang ada hari ini direformasikan, namun Najib sendiri sedang mencatur langkah samada untuk memujuk semula bekas bossnya atau meneruskan gaya pentadbiran lemah yang ada.

Episod perang Mahathir-Najib ini baru bermula, sama ada Khairy akan menjadi penyerang di pihak Najib atau 'swtich game' untuk bersama bahtera Mahathir, beliau orang politik yang pastinya licik melihat percaturan dalaman.

Naiknya siapa sahaja untuk menggantikan Najib, pastinya Khairy tidak mahu lepas peluang bersama dengan saf kepimpinan baharu. –HARAKAHDAILY 27/8/2014

No comments:

Post a Comment