SHAH ALAM - Cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul sekiranya peralihan pimpinan berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, perkara itu belum pernah dibincangkan dalam PR.

“Saya tak dengar lagi... kalau ada apa-apa kena bincang peringkat atasan PR,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Desas-desus jawatan itu dibangkitkan sekiranya kerusi menteri besar diserahkan kepada PKR bagi mengimbangi pentadbiran negeri.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga ada mencadangkan PR mewujudkan jawatan timbalan menteri besar di Selangor.

Khalid berkata, walaupun perkara itu tidak dibincangkan dalam PR, namun ia merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan.