Friday, September 5, 2014

Kerjasama Kastam-SPRM, tidak lindungi pegawai


4 September 2014

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawainya yang dilapor ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan arak dan rokok.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Khazali Ahmad berkata JKDM tidak akan melindungi sebarang maklumat mahupun pegawainya yang disyaki terlibat, meskipun pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada SPRM berkaitan kes itu.
 
"JKDM rasa dukacita dengan apa yang berlaku dan berharap insiden itu tidak akan menjejaskan semangat seluruh pegawai dan kakitangan JKDM bagi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
SPRM semalam mendedahkan telah menahan 22 individu, termasuk seorang Pengarah JKDM negeri yang disyaki terbabit dengan aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.
 
Daripada jumlah itu, 12 daripada mereka merupakan pegawai JKDM manakala 10 lagi merupakan pemilik syarikat dan ejen mereka serta pemandu lori yang membawa barang-barang yang diseludup.  - Bernama

No comments:

Post a Comment