Friday, September 5, 2014

Pemimpin Amerika, Britain ikrar sokong Ukraine

KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 10:54 AM

 
LONDON: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Britain David Cameron berikrar untuk berdiri teguh menyokong Ukraine dalam kemelut yang dihadapinya dengan Russia.

Mereka membuat penegasan itu dalam rencana pendapat yang disiarkan dalam akhbar 'Times' London hari ini.

Kedua-dua Obama dan Cameron menegaskan Russia melanggar hak asasi apabila melakukan pengambil alihan Crimea secara bersendirian manakala tenteranya di bumi Ukraine mengancam dan menjejaskan sebuah negara berdaulat," kata kedua-dua pemimpin dalam akhbar berkenaan.

Mereka menambah: "Oleh kerana Russia cuba memaksa sebuah negara berdaulat supaya menggugurkan hak demokrasinya, sekali gus menjejaskan masa hadapannya, kami merasakan adalah wajar Ukraine diberikan sokongan bagi membolehkannya menentukan masa hadapan demokratiknya."



Rencana pendapat itu, yang disiarkan sebelum permulaan sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Wales, menyatakan pertubuhan berkenaan seharusnya memperhebatkan kedudukannya di Eropah Timur dengan sokongan pasukan tindakan cepat darat, udara, air dan pasukan khas yang boleh ditempatkan di mana-mana sahaja di seluruh dunia pada masa singkat.

Cameron dan Obama menggesa anggota pertubuhan 28 negara itu agar memenuhi sasaran menggunakan sekurang-kurangnya dua peratus negara daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk perbelanjaan ketenteraan.

Rencana pendapat itu menyatakan Britain dan Amerika Syarikat tidak akan berganjak daripada azamnya untuk berhadapan dengan ekstremis jihad di Iraq dan Syria, yang sudah membunuh dua tebusan AS dan mengancam untuk membunuh seorang warga Britain.

Katanya: "Jika pengganas fikir kita akan lemah dengan ancaman itu, mereka adalah tersilap. Negara seperti Britain dan Amerika tidak akan takut dengan pembunuh tidak bertamadun," tulis kedua-dua pemimpin berkenaan. - AFP

No comments:

Post a Comment