SHAH ALAM - Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini dia bimbang anaknya, Zahra Rania Shanley, 2, akan terikut dengan gaya hidup bekas isterinya yang terlalu gemarkan hiburan.

Jimmy Shanley juga bimbang anaknya juga tidak akan terdidik dengan baik oleh plaintif, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 28.

Menurutnya, dia turut bimbang dengan kesihatan anaknya terjejas kerana bekas isterinya didakwa merokok.

“Walaupun dia pernah bersumpah dan mengaku tidak menghisap rokok lagi, namun pada sambutan ulang tahun kelahirannya, Nursuhaila Eliani masih merokok dan ia dirakamkan oleh orang awam,” katanya.

Beliau selaku defendan berkata demikian menerusi afidavit keterangan ketika perbicaraan kes untuk mengetepikan perintah hak untuk bermalam dengan anaknya, Zahra Rania Shanley, yang dikemukakan bekas isterinya.

Jimmy juga tidak bersetuju dengan bekas isterinya yang menawarkan hak bermalam apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun.

“Jika hak itu dihalang, saya khuatir jika hubungan anak dengan saya selaku bapanya menjadi renggang,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya Zahra Rania Shanley membesar dan dimanjakan dengan kemewahan.

Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 dan mula tinggal berasingan selepas  20 hari pernikahan mereka atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu kemudian sah bercerai pada Oktober 2012.