KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengikrarkan afidavit di Kompleks Mahkamah di sini, semalam, bagi menyokong satu permohonan yang akan diserahkan kepada peguam Mohd Shamsul Mat Amin, bekas calon Bukit Besi, berhubung kes saman RM2 juta terhadapnya.
Abdul Hadi hadir bersama peguam Saifuddin Othman dan beberapa penyokongnya. Namun, isi kandungan permohonan itu masih dirahsiakan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas beliau gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tahun lalu.

Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda, sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Plaintif sebelum ini menghantar surat kepada Hadi menuntut permohonan maaf secara terbuka, namun dalam surat balasnya, Presiden Pas itu menafikan pernah mengaitkan plaintif dengan kegiatan penagihan pil kuda