Thursday, October 2, 2014

Gereja Sidang Injil Borneo dapat kebenaran semak kehakiman


PUTRAJAYA 1 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memohon perisytiharan bahawa gereja tersebut mempunyai hak di sisi Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam semua penerbitannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rohana Yusuf yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak gereja.
Korum berkenaan menetapkan 16 Oktober ini bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi. Pengurusan kes akan dijalankan dalam tempoh dua minggu.
Dengan keputusan itu, permohonan semakan kehakiman gereja berkenaan akan dikembalikan di hadapan hakim sama agar meritnya didengar dan diputuskan.
Hakim Rohana ketika menyampaikan keputusan itu menyatakan, syarat atau 'bendul' (threshold) yang perlu dilangkaui bagi membolehkan rayuan itu dibenarkan adalah rendah dan perayu berjaya melepasinya.
Panel itu membenarkan rayuan tersebut selepas berpuas hati bahawa perkara itu bukan sesuatu yang remeh-temeh dan tidak menyusahkan.
Mahkamah mendengar penghujahan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana membuat keputusan tanpa mendengar merit permohonan menjadikan keputusan yang dicapai bukan berlandaskan kepada dapatan fakta dan nas undang-undang.
Gereja SIB merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mei lalu yang menolak kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang pengimportan buku Kristian mengandungi kalimah Allah.
Hakim Datuk Zaleha Yusof ketika itu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah Allah bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian.
Hakim berkenaan ketika memutuskan demikian berkata, mahkamah tiada pilihan selain merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes KDN lawan Gereja Roman Katolik berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald.
Pada 10 Disember 2007, Gereja SIB dan Presidennya, Datuk Jerry W. A. Dusing alias Jerry W. Patel, memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap KDN dan kerajaan bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 15 Ogos 2007.
Rampasan buku tersebut dilakukan selepas arahan menteri pada 1986 melarang penggunaan istilah seperti 'Allah', 'Kaabah', 'Solat' dan 'Baitullah' dalam penerbitan bukan Islam.
Buku berkenaan bagaimanapun dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Januari 2008.
Terdahulu, peguam Lim Heng Seng yang mewakili pihak gereja dan paderi tersebut berhujah, pihaknya tidak lagi mahu mencabar rampasan buku pada 2007 kerana buku itu telah dikembalikan pada tahun berikutnya.
Peguam bela berkata, anak guam sebaliknya mahukan mahkamah mengisytiharkan 12 deklarasi, antaranya supaya kalimah Allah dibenarkan penggunaannya dalam semua penerbitan Kristian di seluruh negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141002/ma_03/Gereja-Sidang-Injil-Borneo-dapat-kebenaran-semak-kehakiman#ixzz3EwN1WKyg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment