Hanoi: Seorang sami di utara Vietnam berdepan tindakan disiplin selepas gambarnya dengan iPhone 6 model terkini telefon pintar yang masih belum berada di pasaran di negara itu dimuat naik ke Facebook.
Ketua kuil Buddha di Tu Ky, wilayah Hai Duong, Thich Than Cuong dilihat makan di restoran, memakai pakaian awam dan bergambar dengan telefon pintar berkenaan yang dijangka bakal dijual dengan harga kira-kira AS$2,300 (RM7,500) apabila berada di pasaran Vietnam, hujung bulan ini.
Klip video dan gambar berkenaan mendapat kecaman hebat selepas tersebar luas di Internet sebelum dibuang.
Ketua sami wilayah Thich Quang Tung berkata, Than Cuong wajar dihukum kerana perlakuannya itu mencemar maruah dan kewibawaan sami.
Sementara itu, Than Cuong berkata, iPhone 6 berkenaan milik pengikutnya yang mengimport telefon terbabit ke Vietnam.
Pengikut berkenaan memberinya satu telefon bimbit kerana dianggap boleh membawa tuah.
Namun dia menegaskan memulangkan telefon itu selepas menerima kritikan akibat memuat naik gambar berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02
No comments:
Post a Comment