JAKARTA: Jawatan Speaker dan tiga Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia didominasi parti pembangkang, parti Golkar dalam pemilihan yang diadakan malam tadi.
Setya Novanto, seorang pemimpin kanan parti Golkar dipilih berikutan kekecohan yang berlaku sebelum itu yang mengakibatkan wakil parti bakal presiden, JokoWidodo, parti Demokrat Indonesia Perjuangan bertindak keluar dewan.
Laporan menyatakan selepas perbahasan hangat di dewan perwakilan malam tadi, parti Demokrat mencadangkan agar pencalonan bagi jawatan berkenaan ditangguhkan kerana sudah lewat.
Pihak pembangkang bagaimanapun berkeras mahukan juga pemilihan jawatan itu dibuat dengan segera malam tadi, tetapi cadangan itu tidak dipersetujui oleh parti Demokrat.
Keadaan itu menimbulkan pertelingkahan dan kekecohan dan akhirnya wakil parti Demokrat bertindak keluar dari dewan.
Memandangkan hanya ada wakil pembangkang dan tiada pencabar, maka calon daripada parti yang menyokong parti pembangkang memenangi jawatan penting berkenaan.
Parti pembangkang pimpinan Jeneral (B) Prabowo Subianto yang tewas dalam pilihan raya presiden Julai lalu, menguasai 63 peratus daripada 560 kerusi di dewan berkenaan.
Pemerhati politik melihat kekecohan yang berlaku pada peringkat awal persidangan itu sebagai petanda tidak baik bagi Widodo, yang akan mengambil alih Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 20 Oktober ini.
Penganalisis berkata Widodo memerlukan sokongan daripada Parlimen untuk melakukan pembaharuan bertujuan memulihkan ekonomi dan membantu rakyat miskin.
"Tapi nampaknya hubungan antara presiden dan Parlimen akan diwarnai dengan konflik dalam tempoh lima tahun akan datang," kata Syamsuddin Haris dari Institut Sains Indonesia. - AFP
No comments:
Post a Comment