Kahiyang Ayu menghadiri peperiksaan CPNS di Solo, baru-baru ini.
SOLO, Jawa Tengah - Anak perempuan kepada Presiden Indonesia, Kahiyang Ayu mengenepikan keistimewaan yang biasa diterima golongan elit di negara ini apabila dia menghadiri peperiksaan untuk memasuki perkhidmatan awam (CPNS) di sini, baru-baru ini.
Tindakan anak kepada Joko Widodo atau Jokowi untuk turut serta bersama lebih 6,000 calon lain menduduki peperiksaan itu di Solo ternyata mengejutkan rakyat Indonesia yang mempunyai masalah rasuah dan nepostime kronik terutamanya membabitkan golongan elit yang sentiasa diberi layanan istimewa.
Dengan berpakaian hitam dan putih, sama seperti calon-calon lain, namun dikawal oleh pasukan keselamatan, Kahiyang Ayu memberitahu media selepas peperiksaan itu bahawa dia hanya mahu berjaya seperti orang lain.
“Saya berharap dapat lulus ujian ini dan diterima sebagai seorang kakitangan awam,’’ katanya sebagaimana lapor portal VOA.
Seorang calon lain yang mengambil peperiksaan terbabit, Lilis Jannatun yang duduk berhampiran Kahiyang Ayu semasa ujian tersebut memberitahu, dia agak terkejut kerana tiada layanan istimewa diberikan kepada anak orang nombor satu di Indonesia itu.
“Dia (Kahiyang Ayu) duduk bersebelahan saya. Saya tidak nampak ada pengawal keselamatan di sebelahnya semasa ujian itu. Dia menjalani peperiksaannya tanpa layanan istimewa,’’ katanya.
Dalam reaksinya dalam akaun Twitter miliknya, @Ayangkahiyang sejurus menjalani peperiksaan itu, Kahiyang Ayu dengan nada sindiran menulis, “Lulus ujian = kkn (rasuah, pakatan sulit, nepotisme) tidak lulus= bodoh,’’.
Kahiyang Ayu yang juga graduan Universiti Sebelas Maret (UNS) Surakarta (Solo) itu bagaimanapun tidak lulus ujian berkenaan.
No comments:
Post a Comment