Peenduduk Burkino Faso membakar kereta-kereta yang diletakkan di perkarangan bangunan Parlimen, di Ouagadougou, kelmarin sebagai membantah cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan Presiden Blaise Compaore melanjutkan penggal pemerintahannya. – AFP |
OUAGADOUGOU 31 Okt. - Presiden Burkina Faso, Blaise Compaore enggan meletakkan jawatan sebaliknya mahu mengetuai kerajaan peralihan, walaupun keganasan politik di ibu negara ini telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa dan mengakibatkan lebih 100 lagi cedera.
Awal hari ini, ketua tentera, Jeneral Honore Traore mengumumkan pembubaran Parlimen dan kerajaan, sekali gus menubuhkan kerajaan peralihan yang akan melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 12 bulan
Beliau turut mengarahkan perintah berkurung selama 24 jam berkuatkuasa, hari ini dan tamat subuh esok.
Beberapa jam kemudian, Presiden Compaore mengumumkan kesediaan beliau untuk berunding secara terbuka dengan pihak pembangkang sepanjang tempoh peralihan dan akan menyerahkan kuasa kepada Presiden yang dipilih secara demokrasi.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyambut baik keputusan Compaore untuk membatalkan langkah membentangkan usul meminda Perlembagaan negara, seperti yang dituntut penunjuk perasaan propembangkang dan memuji pembentukan kerajaan perpaduan sebagai persiapan mengadakan pilihan raya umum.
Semalam, beratus-ratus penunjuk perasaan menceroboh bangunan Parlimen dan beberapa bangunan kerajaan lain di Ouagadougou bagi membantah usul untuk meminda Perlembagaan bagi melanjtkan tempoh pemerintahan Compaore yang telah menjadi Presiden sejak 27 tahun lalu.
Tindakan penunjuk perasaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa akur dan membatalkan usul tersebut serta menarik semula perintah darurat yang diumumkan beberapa jam sebelum itu, tetapi dua langkah itu gagal meredakan krisis yang masih berlanjutan. – AFP
No comments:
Post a Comment