Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2014 9:43 PM
KDN dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati bahan terbitan itu mengandungi perkataan Allah.
Bahan terbitan yang dirampas di terminal utama itu dirujuk kepada kementerian oleh pegawai Jabatan Kastam pada 27 Oktober lalu dan surat rampasan untuk tujuan penyiasatan dan pemeriksaan telah dikeluarkan.
Menurut kementerian itu, KDN telah menyemak dengan pembawa dan dijelaskan bahawa bahan terbitan tersebut dibawa keluar ke terminal utama kerana pembawa perlu mendaftar masuk bagasinya untuk menyambung penerbangan ke Sabah.
"Pada kebiasaan, jika bagi tujuan transit, bagasi tersebut akan dipindahkan terus ke pesawat seterusnya dan tidak dibawa turun ke terminal utama," katanya.
Menurut KDN, pada mulanya pemilik tersebut mendakwa bahan terbitan tersebut adalah untuk kegunaan peribadinya tetapi kemudiannya menyatakan ia untuk kegunaan sebuah gereja di Sabah.
"Sehubungan itu, surat penahanan untuk kajian dan semakan (bersifat sementara) telah dikeluarkan kepada pembawa bagi mengesahkan penerbitan tersebut dengan sebenarnya akan dibawa ke Sabah," menurut kenyataan itu.
KDN berkata bahawa pada masa ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pembawa berkenaan.
"Penerbitan tersebut akan dilepaskan sebaik mendapat pengesahan serta butir-butir lanjut daripada pembawa di Sabah," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan bahan bacaan agama itu dipulangkan kepada pemiliknya.
"Perkara ini mendapat perhatian saya pada Khamis, dan saya akan memastikan sama ada rampasan itu mempunyai alasan yang kukuh atau tidak," katanya.
No comments:
Post a Comment