Tuesday, November 18, 2014

Isu 1MDB tidak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen - Speaker

SELASA, 18 NOVEMBER 2014 @ 1:43 PM

 
KUALA LUMPUR : Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi memutuskan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Parlimen.

Beliau menjelaskan keputusan itu diambil selepas mendapati tiada sebarang niat daripada Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan untuk mengelirukan dewan.

Terdahulu, beliau memberi ruang kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membahaskan hujah berkenaan tindakannya untuk merujuk Ahmad ke jawatankuasa berkenaan.

Kemudian, Ahmad pula membalas hujah selama kira-kira 10 minit dan menegaskan kenyataan dikeluarkannya pada 6 November lalu berkaitan surat sokongan dan jaminan kepada hutang 1MDB berjumlah RM5.8 bilion itu masih kekal dan tidak berubah.

"Untuk seseorang ahli dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan, ada beberapa syarat, hujah dan fakta salah, tiada usaha untuk perbetulkan. Paling penting sekali daripada mula sampai tamat berhujah, ada cubaan mengelirukan dewan.

"Yang Berhormat Pontian sudah jelaskan beliau tiada niat untuk mengelirukan dewan dan sudah memperbetulkan kenyataannya di luar dewan, ada surat sokongan itu tetapi tidak disebut dalam Dewan," kata Pandikar.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudiannya cuba bangun mempertikaikan keputusan speaker, namun ia tidak diendahkan Pandikar sebelum dewan bersambung dengan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya.

No comments:

Post a Comment