Penduduk kampung bertungkus lumus memadamkan kebakaran daripada serpihan pesawat MH17 yang mengenai kawasan rumah mereka di Kampung Hrabove, timur Ukraine. – AP |
HRABOVE, Donetsk 17 Nov. - Rakaman video terbaharu tentang nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, menunjukkan lokasi kemalangan itu berlaku begitu hampir dengan kawasan rumah kediaman penduduk di sebuah kampung di sini.
Rakaman amatur berdurasi selama kira-kira dua minit itu yang diperoleh agensi berita AP, semalam dipercayai merupakan rakaman pertama yang diambil sejurus kemalangan itu berlaku di Kampung Hrabove, dengan penduduk kampung pada mulanya menganggap pesawat itu adalah pesawat tentera Ukraine.
Video itu yang dirakam oleh seorang penduduk kampung menunjukkan keadaan kelam kabut berhampiran lokasi nahas dengan ada penduduk cuba memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan pesawat menggunakan air baldi sementara penduduk lain berkumpul untuk melihat nahas itu.
Dalam video itu, kendengaran perbualan penduduk Kampung Hrabove bertanyakan kedudukan juruterbang, mungkin ada kaitan dengan tindakan pemberontak pro-Rusia yang sering menjadikan juruterbang pesawat perang Ukraine sebagai tahanan perang.
Seorang individu dalam video itu kedengaran bertanyakan: “Di mana jururterbang?’’
Individu lain menjawab: “Tiada siapa yang tahu?’’
Dalam satu lagi perbualan, seorang individu kendengaran bertanya sama ada lebih sebuah pesawat yang terhempas kerana terlalu banyak serpihan pesawat di situ.
Orang ramai disekelilingnya dengan segera membetulkan telahan lelaki itu dengan menyatakan bahawa hanya sebuah pesawat yang jatuh.
Tiga hari sebelum MH17 ditembak jatuh, pemberontak pro-Rusia mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pengangkut milik tentera Ukraine jenis Antonov-24.
Nahas membabitkan pesawat MH17 yang berlaku pada 17 Julai lalu itu mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapalnya, selepas ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia dengan serpihan pesawat ditemui bertaburan dalam lingkungan kawasan 20 kilometer persegi.
Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Belanda berkata, pasukan perkhidmatan kecemasan tempatan yang membuat pemeriksaan di lokasi nahas, semalam sambil dipantau pemberontak pro-Rusia menemui cebisan mayat manusia, serpihan pesawat dan barangan persendirian milik penumpang pesawat MH17.
Serpihan pesawat dibawa ke stesen kereta api di Torez, manakala barangan persendirian penumpang termasuk dua pasport serta kad ATM bank diserahkan oleh penduduk tempatan. – AP/REUTERS
No comments:
Post a Comment