Tuesday, November 18, 2014

Lagi cebisan mayat, serpihan MH17 ditemui


Beberapa kakitangan penyiasat Belanda memeriksa serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat kampung Grabovo di Donetsk, timur Ukraine kelmarin.


AMSTERDAM – Perkhidmatan kecemasan tempatan menemui cebisan mayat, serpihan pesawat dan barangan peribadi mangsa di lokasi nahas Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Julai lalu, kata pihak berkuasa Belanda kelmarin.
Pasukan penyiasat Belanda sebelum ini berharap mereka sendiri dapat memeriksa lokasi nahas susulan pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu yang menyebabkan 298 orang terbunuh dengan dua pertiga daripada mereka rakyat Belanda.
Bagaimanapun, mereka bimbang tentang keselamatan kakitangan mereka ekoran pesawat Boeing 777-200ER itu terhempas di zon konflik antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pasukan penyiasat ber­kenaan akhirnya memutuskan untuk menyerahkan tugas pencarian seterusnya di lokasi nahas MH17 kepada Perkhidmatan Kecemasan Tempatan selepas banyak mayat ditemui dalam operasi awal.
“Kebimbangan berhubung isu keselamatan ini berasas kerana kelmarin sebuah peluru mortar mendarat pada jarak 1,500 meter dari lokasi nahas,” kata pihak berkuasa Belanda dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan tersebut, beberapa serpihan pesawat MH17 telah dibawa ke sebuah stesen kereta api berdekatan di Torez dan dimuatkan ke dalam gerabak kereta api.
Kenyataan sama memberi­tahu, antara barangan peri­badi mangsa yang diserahkan oleh penduduk tempatan termasuk dua pasport dan beberapa kad bank.
Operasi mencari itu dijangka mengambil masa beberapa hari manakala serpihan pesawat yang ditemui akan dihantar ke Belanda.
Pasukan penyiasat merancang untuk menyambung semula beberapa bahagian pesawat MH17 di Belanda bagi mengenal pasti punca nahas.
“Kawasan nahas itu besar, jadi kami tidak bercadang untuk mencari semua serpihan pesawat berkenaan. Kami hanya akan mencari beberapa bahagian yang penting,” kata seorang jurucakap Lembaga Keselamatan Belanda, Wim Van der Weegan.
Pesawat MH17 dari Ams­terdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia pada 17 Julai lalu.
Kerajaan Ukraine menuduh kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh pesawat, itu menggunakan peluru berpandu anti pesawat namun Moscow menafikan dakwaan tersebut dan menuding jari kepada Kiev. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3JMmDagfq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment