Wednesday, June 30, 2010

1:40 belia belum daftar undi



PORT DICKSON – Masih terdapat belia berumur antara 21 hingga 39 tahun belum mendaftarkan diri sebagai pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan nisbah 1:40. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nisbah 1:40 itu bukan sahaja di negeri ini, malah membabitkan seluruh negara. 

Menurutnya, keadaan itu amat merisaukan kerana seperti sudah menjadi satu trend dalam kalangan anak muda terutama belia Melayu yang tidak ambil kisah dan peduli untuk mendaftar diri sebagai pengundi berdaftar. 

“Justeru, Badan Perhubungan UMNO negeri mengambil perhatian serius mengenai masalah ini bagi meneliti bagaimana cara yang boleh diguna pakai untuk menggalakkan belia Melayu menjadi pengundi berdaftar dengan SPR,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan, anjuran Biro Penerangan Badan Perhubungan UMNO dan Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan, di sini, semalam. 

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar. 

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, perkara itu perlu diteliti dengan lebih khusus supaya satu cara dapat diwujudkan bagi menggalakkan anak muda mendaftar. 

“Jika kita tidak mengatasi masalah ini dengan segera, akan wujud kekeliruan. 

“Walaupun nanti dalam peratusan kaum Melayu ramai tetapi dari segi peratusan pengundi berdaftar, jumlah peratus itu tidak ramai. Perkara ini yang perlu diteliti,” katanya. 

Sementara itu, Mohamad berkata, daripada 154,000 ahli UMNO, seramai 24,000 ahli UMNO tidak berdaftar telah dikenal pasti sehingga penghujung 2009. 

Bagaimanapun, menurutnya, kerja mengemas kini data pengundi akan dibersihkan secepat mungkin bagi menangani masalah pertindihan fakta yang berlaku. 

“Ini sebab dahulunya ahli mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment