Wednesday, June 30, 2010

KDN terima jawapan bertulis Suara Keadilan




PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam telah mendapat penjelasan bertulis berhubung tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada akhbar Suara Keadilan. 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, penjelasan itu yang merupakan jawapan bagi ketiga-tiga surat tunjuk sebab berkenaan diterima melalui faksimili pada 4.57 petang semalam. 

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung penjelasan bertulis itu kerana perlu meneliti isi kandungan dokumen berkenaan terlebih dahulu. 

“Saya belum tengok lagi jawapan mereka, dan kementerian juga akan mengadakan mesyuarat selepas ini untuk menilai sama ada jawapan mereka boleh diterima pakai atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai maklum balas kepada tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN kepada Suara Keadilan pada Januari, Februari dan April tahun ini. 

KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab pada Januari dan April ekoran kegagalan akhbar milik Parti Keadilan Rakyat itu memberi lapan salinan akhbar berkenaan bagi setiap keluaran. 

Surat tunjuk sebab Februari pula khusus meminta penjelasan berhubung tiga artikel yang disiarkan Suara Keadilan yang didapati mempunyai unsur fitnah terhadap UMNO dan Barisan Nasional. - Bernama

No comments:

Post a Comment