Wednesday, June 30, 2010

Nisbah 1:40 bermotif politik, perkauman




KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) menyelar kajian biro keahlian dan daftar pemilih Pemuda UMNO bahawa pendaftaran pengundi baru adalah dalam nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu yang didakwa bermotifkan politik. 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, masalah ini dapat diatasi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan daftar pemilih secara automatik. 

Menurutnya, mekanisme ini tidak dilaksanakan kerana untuk menjaga kepentingan politik UMNO, Barisan Nasional (BN) kerana melihat kecenderungan pengundi muda menyokong PR. 

“Saya melihat ini lebih bersifat politik daripada kenyataan sebenar, SPR sewajarnya boleh mengatasi masalah ini dengan sistem daftar automatik. 

“Kalau ini dilaksanakan pasti selesai masalah, saya menyanggah kenyataan yang bersifat perkauman ini, kerana orang Melayu adalah teras pemerintahan, tidak perlu kita takut Melayu kehilangan kuasa,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, semalam. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka ini sebenarnya belum disahkan dan kenyataan itu hanya untuk menakutkan kaum saja. 

“Tetapi SPR lupa ini melambangkan kegagalan SPR itu sendiri dalam isu ini, amanah ini adalah untuk mereka supaya memastikan semua kaum mengundi,” katanya. 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencabar SPR mengeluarkan angka sebenar berhubung nisbah pengundi di negara ini. 

Menurutnya, kenyataan Pemuda UMNO yang turut disokong SPR ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. 

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke pula menganggapnya satu kenyataan berbaur perkauman. 

“Ini adalah kenyataan palsu dan berbaur perkauman. Ia digunakan untuk menakutkan Melayu supaya merka percaya yang mereka akan kehilangan pegangan politik," katanya. 

Menurutnya, menurut SPR, kebanyakan pengundi baru adalah daripada Umno dan 70 peratus daripada mereka adalah bumiputera manakala selebihnya bukan bumiputera. 

"Jadi mustahil terdapat lebih ramai pengundi baru bukan Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment