Wednesday, June 30, 2010

Abbas temui pelobi Yahudi


BAITULMAQDIS 29 Jun - Palestin sudah lama memusuhi pelobi Yahudi di Washington, tetapi kini mereka mengubah taktik cuba menjalin hubungan dengan kumpulan yang banyak mempengaruhi dasar Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel itu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semasa lawatan ke Washington baru-baru ini menjadi tetamu kehormat pada jamuan makan malam bersama lebih 30 pemimpin dan tokoh politik Yahudi Amerika yang berpengaruh.
Peserta daripada kedua-dua pihak menggambarkan pertemuan itu sebagai sangat berjaya.
Selama lebih 90 minit Abbas dengan sabar menjawab soalan dan membincangkan isu sensitif seperti rundingan damai Asia Barat, sentimen anti-Israel dalam media Palestin, keganasan dan holocaust.
Pertemuan itu menandakan penyimpangan luar biasa bagi Palestin yang selama ini melihat para pemimpin Yahudi Amerika dengan rasa kagum bercampur benci dan iri hati kerana kemahiran dan pengaruh politik mereka terhadap dasar AS yang pro-Israel.
Pegawai Palestin berkata, ia kali pertama Abbas menemui sebegitu ramai pemimpin Yahudi AS daripada pelbagai kumpulan, dan mencerminkan kesedaran bahawa menjalin hubungan dengan Yahudi Amerika boleh memberi manfaat kepada Palestin.
"Saya berpendapat adalah satu kesilapan untuk mengetepikan institusi dan komuniti (Yahudi) itu dengan mengatakan mereka memusuhi kami, dan kami tidak patut berhubung dengan mereka.
"Sebaliknya kami perlu duduk semeja dengan mereka dan kami perlu cuba meyakinkan mereka menerusi dialog dengan mereka," kata Abbas kepada Associated Press (AP).
Memandangkan rundingan damai tidak langsung anjuran AS baru hendak bermula, Abbas berkata, beliau juga merasakan penting untuk menjelaskan pendirian beliau.
Abbas mempertahankan pendiriannya untuk tidak mengadakan rundingan langsung dengan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Tegas Abbas, lebih banyak kemajuan perlu dicapai sebelum rundingan secara bersemuka boleh dilancarkan. - AP

No comments:

Post a Comment