Wednesday, June 30, 2010
Cinta Mek Wook utuh
BESUT – Cinta dramatik seorang warga emas berusia 107 tahun, Wook Kundur terhadap suaminya, Mohd Nor Musa, 38, yang sentiasa membara dan tidak pernah padam sehingga melayakkan dirinya menerima anugerah Keluarga Contoh daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut.
Malah, sepanjang Mohd Nor ditempatkan di pusat pemulihan itu sejak Disember tahun lalu, sudah lima kali warga emas itu datang menjenguk suaminya mengalahkan keluarga penghuni lain.
“Sejak dia (suami) berada di sini menjalani rawatan, saya sentiasa mengingati dan merinduinya. Dulu, ketika berada di Puspen Sungai Besi, Selangor sebelum dipindah ke sini, saya tidak boleh kerap menjenguknya kerana jauh.
“Demi cinta, saya sering ke sini bagi menghilangkan rindu selain memberi sokongan kepadanya supaya selepas keluar nanti dia tidak mengulangi lagi kesilapan lalu,” katanya.
Wook berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Tautan Kasih dan Gaya Hidup Sihat sempena Hari Bapa Puspen Besut 2010 di Kampung Raja, kelmarin.
Terdahulu, pada majlis sama, Wook menerima anugerah Keluarga Contoh yang disampaikan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Wan Addenan Wan Mohd Noor.
Mohd Nor ditangkap Penguat Kuasa AADK Julai tahun lalu kerana didapati menagih dadah jenis heroin dan ditempatkan di Puspen Sungai Besi sebelum dipindahkan ke Puspen Besut atas permintaan warga emas itu.
Kisah perkahwinan Wook dengan lelaki yang usianya jauh lebih muda b sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai.
Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira 15 minit kelmarin, kerinduan Wook terhadap suaminya jelas terpancar berdasarkan aksinya bagaikan pasangan kekasih sedang bercinta yang sudah lama tidak bersua.
Kedua-duanya saling tidak melepaskan tangan masing-masing selain bercakap penuh kasih sayang.
“Setiap kali datang berjumpa dengannya, beginilah selalu. Sebagai isteri saya kena beri sepenuh kasih sayang kepada suami dan saya berdoa selepas keluar nanti, dia akan insaf dan kami dapat menjalani kehidupan rumah tangga seperti dulu,” katanya.
Mohd Nor pula yang akan dibebaskan pada 15 Julai depan berazam untuk meninggalkan najis dadah dan merancang memasuki sekolah agama pondok bagi mendalami agama dan bertekad menjadi suami yang baik.
“Saya juga amat merindui Wook. Dia seorang isteri yang hebat kerana sering membahagiakan saya, tetapi saya yang bersalah hingga menyusahkannya selama ini, namun dia tetap tabah menghadapi kerenah saya,” katanya.
Wook juga telah membeli sebuah kereta terpakai lain bagi memudahkan dia berulang alik melawat Mohd Nor.
Setiap kali melawat Mohd Nor, kereta itu akan dipandu anak saudaranya, Nordin Yaacob, 50, yang tinggal di Kampung Bharu, Bachok, Kelantan.
Sekiranya Wook menghubungi Nordin untuk melawat suaminya, Nordin akan menjemput Wook di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Hulu Terengganu.
“Saya baru beli kereta berharga kira-kira RM2,000 selepas kereta sebelum ini dijual Mohd Nor. Kalau selepas ini dia jual lagi kereta ini untuk beli dadah, saya minta selepas ini dia kena tahan lebih tiga tahun pula.
“Saya sayangkan dia, tetapi kalau buat salah biarlah dipulihkan dan benar-benar insaf,” kata Wook yang tidak sabar menunggu kepulangan suami tersayang pada 15 Julai ini selepas menjalani rawatan pemulihan dadah selama setahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment