Wednesday, June 30, 2010

'Saya malu, kecewa' - MB


KUALA TERENGGANU 29 Jun - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengakui berasa malu dengan keadaan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini yang sehingga kini masih belum dibersih dan dibaiki.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung itu masih tertangguh walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa tender sudah dibuka kepada kontraktor.
Jelasnya, setakat ini 40 kontraktor sudah memohon, namun beliau pelik kerana JKR mengambil masa yang lama untuk memproses dan membuat penilaian bagi memilih kontraktor yang sesuai.
"Sebelum ini saya meminta JKR agar menyegerakan kerja-kerja pembersihan sisa bumbung stadium yang runtuh iaitu selepas setahun kejadian itu berlaku.
"Saya sendiri rasa malu setiap kali melihat keadaan bumbung (stadium) runtuh, ia masih tidak dicabut (ditanggal) lagi. Saya sudah beritahu JKR, mereka kata ramai (kontraktor) dah masuk (tender) iaitu 40 orang.
"Pada saya cari yang murah untuk jimat kos, tunggu apa lagi. Penilaian apa yang lama sangat. Yang penting murah. Saya tak faham. Kalau saya senang saja, saya akan buat penilaian dan pilih (kontraktor) dalam masa sehari saja," tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan e-Book kepada 819 murid tahun lima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok di sini, hari ini.
Ahmad mengulas kerja-kerja pembersihan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sehingga hari ini masih tertangguh.
Bumbung stadium berkenaan yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.
Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR),Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim berkata, JKR telah menyenarai pendek beberapa kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan bumbung stadium itu.
Katanya, tender mengenai kerja-kerja itu memang telah dibuka sebelum ini dan penilaian mengenainya juga telah dibuat.
"Ketika ini terpulang kepada JKR negeri berkenaan memilih kontraktor yang sesuai untuk melakukan kerja-kerja tersebut.
"Kerja-kerja pembersihan dan pembaikan ini sebenarnya agak rumit dan mengambil masa kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan perlu mendapatkan nasihat daripada konsultan sebelum membuat apa-apa tindakan," katanya di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment