Wednesday, June 30, 2010

KAMI BANTAH!




SENAI - Pemuda UMNO Bahagian Tenggara mendesak kerajaan mempertahankan pembinaan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluas 500,000 hektar di tapak asalnya di sekitar Ladang Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) berhampiran Orchard Golf, Jalan Kulai-Kota Tinggi kerana penduduk di situ inginkan pembangunan setanding kawasan lain yang telah maju. 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor merangkap Ketua Pemuda bahagian, Abd Halim Abd Jalil berkata, demonstrasi bantahan pembinaan kampus UiTM di kawasan baru itu dibuat bersebelahan Orchard Golf, Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini, semalam selepas ia diumumkan kerajaan untuk bertukar lokasi ke Seri Alam, Pasir Gudang yang mana upacara pecah tanah dijangka akan berlangsung pada 17 Julai. 

Menurutnya, penduduk khususnya golongan muda yang menantikan pembinaan kampus itu berasa amat kecewa dengan pengumuman itu dan mahu pembinaannya dikekalkan. 

“Kami mahu ia kekal di tapak asal kerana dengan adanya kampus itu, ia akan dapat membantu mengubah nasib penduduk di sini. 

“Peluang pekerjaan dan pembangunan positif akan berlaku dengan terlaksananya kampus itu,” katanya. 

Abd Halim berkata, memandangkan Bandar Tenggara tidak termasuk dalam Iskandar Malaysia, pembinaan kampus itu sangat diharapkan oleh masyarakat setempat dan UiTM sudah menyelesaikan bayaran premium pada tahun lalu. 

Sementara itu, Setiausaha Usahawan Pekebun Kecil Johor merangkap Ketua Biro Ekonomi Pemuda Bahagian Tenggara, Mohd Shafiee Salam berkata, penduduk mahu tahu apa rasionalnya kampus itu dibina di Seri Alam dan bukannya Bandar Tenggara. 

“Jika mereka ada sebab musabab yang boleh diterima sudah tentu kami akan sedia dengar. Jangan biarkan kami terus tertanya-tanya. 

“Pemerintahan atasan negara adalah orang yang layak beri penjelasan kepada penduduk sekitar. Kami pemuda peringkat bahagian sendiri tidak tahu apa sebabnya dan bagaimana nak terangkan kepada mereka,” katanya. 

Pemuda UMNO Bahagian Tenggara bercadang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menzahirkan harapan orang muda kawasan itu. 

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, pembinaan UiTM itu tidak boleh dibina di tapak asal kerana tidak mendapat kelulusan disebabkan kos yang tinggi. 

“Mereka kena faham... kos penyelenggaraan jika dibuat di tapak asal memerlukan perbelanjaan tinggi justeru kita terpaksa menukarnya ke tempat yang lebih bersesuaian dan wajar,” katanya.

No comments:

Post a Comment