P Regispran, 59, berkata sehingga hari ini dia tidak berpuas hati dengan punca kematian anaknya, R Aruljothi, 24, sepertimana dimaklumkan pihak penjara, memandangkan anaknya itu tidak pernah mengadu sebarang masalah sejak ditahan di penjara itu pada September 2008.
"Bagaimanapun, kegembiraan saya bertukar kepada terkejut apabila menerima panggilan telefon dari pihak penjara pada kira-kira pukul 1 pagi, 9 Januari lalu, yang memaklumkan kematian Aruljhoti," katanya yang ditemani isteri, T Annaputany, kepada pemberita pada pertemuan yang diaturkan Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, di Johor Baharu hari ini.
Regispran, dari Taman Sri Skudai, di Johor Baharu, berkata keadaan anaknya itu yang sihat dan gembira semasa dia dan isterinya melawat anak bongsu dari enam adik-beradik itu pada kali terakhir, membuatkan mereka sekeluarga tidak mempercayai Aruljhoti sanggup menggantung diri.
Katanya, mengikut laporan polis Penjara Kluang, Aruljhoti menggantung diri pada kira-kira jam 9.45 malam, 8 Jan lalu.
Berikutan itu, Regispran berkata dia membuat laporan di Balai Polis Skudai pada 19 Jan lalu bagi menyiasat kejadian berkenaan, bagaimanapun dakwanya sehingga kini pihak berkuasa masih belum memberikan sebarang maklum balas.
"Saya tahu anak saya bersalah di atas jenayah samun yang dilakukannya tetapi saya mahukan keadilan terhadap kematian ini. Apa yang saya pertikaikan adalah cara kematiannya," katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata pihaknya sudah melantik seorang peguam bagi mewakili keluarga itu dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat supaya membuka semula kertas siasatan kematian Aruljhoti.
"Kita juga akan membantu Regispran membeli laporan bedah siasat kerana dia tidak mampu membeli laporan itu disebabkan masalah kewangan," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment