IPOH: “Kami reda jika suami terkorban dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah serta kami rela jika dia dikebumikan di Palestin.
“Tipu jika kami katakan tidak sedih jika ia berlaku. Tapi dalam situasi sekarang, kami dan anak tabahkan hati dan yakin setiap yang berlaku itu kehendak Allah. Kami berdoa yang terbaik saja untuk suami,” kata Faezah Hassan, 52, dan Norizan Lazim, 54, isteri Dr Selamat Aliman, 54, sukarelawan Malaysia ke Gaza yang menjadi tebusan tentera Israel.
Selamat dan lapan lagi sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) serta dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara, diserang tentera Israel ketika misi kemanusiaan menghantar bantuan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, pagi kelmarin.
Namun, ketika diberitahu penulis bahawa Wisma Putra mengesahkan bahawa nasib semua rakyat Malaysia di atas kapal berkenaan selamat, Faezah berkata, hatinya tidak tenteram selagi tidak mendengar suara suaminya.
“Sudah pasti ia berita paling menggembirakan, tambahan suami juga bernama Selamat. Namun, seperti saya katakan, saya dan madu serta anak bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.
“Kami hanya yakin dia selamat jika dapat mendengar suaranya. Saya cukup mengenali suami dan perkara pertama dia lakukan dalam situasi dihadapinya sekarang, menghubungi keluarganya. “Justeru, dia sekarang mungkin ditahan di penjara Israel atau telefon bimbitnya tiada liputan atau kehabisan bateri. Buat masa sekarang, kami berdoa dan menanti panggilan daripadanya,” kata Faezah ketika ditemui di rumahnya di Taman Rapat Setia Baru dekat sini, semalam.
Faezah berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Selamat menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar suaminya pada jam 3.55 petang, Jumaat lalu.
“Dalam SMS itu, suami memberitahu selepas 10 jam berlayar baru ada liputan telekomunikasi. Justeru, perkara pertama lakukan menghantar SMS berkenaan. Katanya, dia dan rakannya hampir dua pertiga perjalanan untuk sampai ke Gaza.
“Menurutnya, terdapat individu terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik di atas kapal itu. Namun, dia memberitahu mereka membincangkan mengenai beberapa senario buruk mungkin berlaku apabila kapal menghampiri kira-kira 40 kilometer dari perairan Gaza.
“Salah satu kemungkinan kapal ditawan komando Israel dan ia dibawa ke pelabuhan Asroud di Israel. Namun, dia yakin pengendali misi diketuai NGO dari Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH) bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, Norizan berkata, dalam SMS itu lagi, Selamat memberitahu kapal dinaikinya kapal kemanusiaan dan tidak membawa sebarang senjata, sebaliknya senjata mereka ialah media dari seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment