Wednesday, June 2, 2010

PBB kutuk Israel serbu kapal bantuan buat Gaza




NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk semalam 'tindakan yang menyebabkan' sembilan korban jiwa semasa serbuan askar komando Israel ke atas kapal-kapal membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.
Lima belas anggota Majlis Keselamatan itu menggesa dijalankan 'siasatan segera, tidak pilih kasih, berwibawa dan telus' berhubung insiden itu.Ia turut menggesa Israel membebaskan kapal dan aktivis hak asasi yang ditahannya.Kenyataan majlis itu, yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar selama 12 jam, ternyata lebih lemah daripada yang dituntut oleh Palestin, negara-negara Arab dan Turkey disebabkan bantahan Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel.Turkey, yang juga rakan Israel, menyuarakan kutukan paling lantang kerana kebanyakan korban ialah rakyatnya.Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata: 'Kami tidak akan berdiam diri berhubung pengganasan tidak berperikemanusiaan ini.'Beliau menggesa Israel menarik balik kepungan ke atas Gaza, dan menegaskan Turkey akan terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin.Menteri Luar Turkey, Encik Ahmet Davutoglu, menyifatkan serangan Israel itu sebagai 'tindakan lanun dan penyamun' dan 'pembunuhan oleh sebuah pemerintah'.Di Istanbul, penunjuk perasaan menyerang Pejabat Konsul Israel. Di utara Baitulmakdis, rakyat Palestin melempari askar Israel dengan botol dan batu.Di Jordan, penunjuk perasaan menggesa kerajaan mengikut jejak Turkey dan memutuskan hubungan dengan Israel.Pemerhati Palestin di PBB, Encik Riyad Mansour, menyifatkan serangan Israel itu sebagai 'jenayah perang'.Gerakan Bebaskan Gaza (FGM) yang menganjurkan flotila enam kapal bantuan kemanusiaan yang disekat Israel itu berkata ia akan menghantar dua lagi kapal dalam masa beberapa hari.Palestin dan Turkey menegaskan aktivis di atas flotila itu membawa bekalan bantuan kepada penduduk Gaza.Namun, timbalan duta besar Israel ke PBB, Encik Daniel Carmon, mendakwa sesetengah aktivis mempunyai 'sejarah pengganas' manakala penganjurnya menyokong kumpulan radikal, termasuk Hamas.Seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Israel, Encik Yossi Edelstein, berkata 45 daripada 686 aktivis yang dipintas dihantar balik semalam.Yang lain dibawa ke sebuah penjara di bandar Beersheva, selatan Israel. Jika hakim tidak mendakwa mereka, mereka akan dihantar pulang dalam masa 72 jam.Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, menggesa Majlis Keselamatan meluluskan resolusi lebih lantang terhadap Israel.Semalam dua lelaki Palestin ditembak mati askar Israel semasa cuba menyusup ke selatan Israel.Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, mengarahkan semalam lintasan sempadan di Rafah dibuka bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Jaluran Gaza. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment