Wednesday, June 2, 2010

Kutuk kekejaman



KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 orang berkumpul secara aman bagi membantah dan mengutuk kekejaman Israel terhadap kumpulan misi kemanusiaan ke Gaza, di depan bangunan kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.
Protes yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu disertai pelbagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sepanduk, laungan takbir dan kecaman ke atas rejim zionis terbabit, antara lain berbunyi “hidup hidup, hidup Islam, jahanam jahanam, jahanam Israel.”
Wakil NGO terbabit termasuk daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pelajar Palestin dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Dalam kesempatan itu wakil NGO terbabit turut menyampaikan kertas kecaman dan nota bantahan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melalui penasihat politik di kedutaan terbabit, Brian Mc Feeters.
Mereka kemudian bersurai dan beredar dari perkarangan kedutaan itu kira-kira jam 11.30 pagi. Kira-kira setengah jam kemudian satu lagi protes secara aman diadakan, yang membabitkan sekumpulan pihak dari parti pembangkang.
Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya mengecam tindakan Israel yang menggunakan kekerasan dan bertindak ala ketenteraan terhadap konvoi kemanusiaan.
Menurutnya, konvoi kemanusiaan itu dilakukan selepas semua kaedah untuk menghantar bantuan melalui jalan darat disekat.
“Ini usaha kerjasama di peringkat antarabangsa yang diiktiraf lebih daripada enam negara dan kami kesal tindakan kejam dilakukan Israel.
“Kami menyeru supaya rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan dokongan bersama kepada bantahan ini supaya dapat mendesak masyarakat antarabangsa bertindak,” katanya.
Beliau memuji langkah Wisma Putra dalam menangani isu terbabit dan berharap kerajaan terus mengambil tindakan proaktif untuk mendesak kekejaman Israel dapat dihentikan.
Ketua Pasukan Pengurusan Krisis Talian Hayat Untuk Gaza, Zulkifli Mohd Nani, berkata protes pihaknya terhadap Israel di kedutaan Amerika Syarikat itu juga diadakan dengan harapan Amerika Syarikat menyediakan maklumat berkaitan 12 rakyat Malaysia di dalam misi terbabit.
Beliau berkata, pihaknya berharap sukarelawan terbabit diberikan perlindungan dan rawatan sekiranya tercedera, malah dibenarkan memasuki Gaza.
“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, warna kulit dan ideologi politik digesa bersama menunjukkan protes. Semua pihak perlu bergabung tenaga, jika kita semua dapat memainkan peranan kita, kita yakin kita akan mendapatkan kejayaan untuk konvoi,” katanya.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata pihaknya terpanggil mengadakan protes terbabit bagi melahirkan keprihatinan terhadap sukarelawan misi kemanusiaan ke Gaza yang menjadi mangsa serangan Israel.
Beliau berkata, pihaknya mengulangi kutukan dan kecaman terhadap Israel dan Amerika yang menjadi pelindung kepada Israel.

No comments:

Post a Comment