Wednesday, June 2, 2010

Kerja tambak laut jejas rezeki 100 nelayan



SEBERANG TAKIR – Kira-kira 100 nelayan di pesisir pantai Teluk Ketapang hingga ke Hujung Tanjung, di sini, hilang punca pendapatan sejak lebih seminggu lalu susulan kerja-kerja tambakan laut yang sedang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan. 

Berikutan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan itu, nelayan tidak lagi memiliki tempat mendarat atau laluan ke laut kerana sepanjang pesisir pantai berkenaan telah dipasang batang paip untuk kerja-kerja menyedut pasir. 

Namun, apa yang paling dikesalkan nelayan yang terjejas teruk itu adalah tiada sebarang perbincangan atau wakil daripada pihak kontraktor tampil bertemu dan berbincang sebelum melaksanakan projek sebelum itu. 

Nelayan, Abd Halim Long, 43, berkata, dia yang bergantung sepenuhnya dengan hasil laut mengakui ekonomi keluarganya turut terjejas kerana dia tidak dapat lagi ke laut. 

“Bagaimana kami hendak ke laut sedangkan tempat mendarat atau menurunkan bot tiada dan yang pasti, hasil tangkapan yang biasa diperoleh boleh mencecah hingga RM40 sehari tidak lagi dikecap sejak lebih seminggu. 

“Sehubungan itu, saya merayu pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu kesemua nelayan ini agar masalah ini tidak berlarutan,” katanya yang telah lebih 20 tahun bergelar nelayan. 

Seorang lagi nelayan, Mohd Noor Taib, 51, menuntut pihak berkenaan membayar ganti rugi atau pampasan berhubung kesulitan dihadapi mereka susulan kerja-kerja tambak laut berkenaan. 

“Saya difahamkan nelayan di tempat lain yang terjejas disebabkan kerja-kerja tambak laut yang dilakukan pihak berkenaan diberikan bayaran sagu hati atau pampasan kerugian. Sedikit sebanyak dengan cara itu mampu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung kami,” katanya. 

Bagaimanapun kata Mohd Noor, nelayan di situ tidak menolak sebarang pembangunan yang ingin dilaksanakan kerajaan, namun penilaian atau kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu supaya tidak mengundang pelbagai masalah kemudian hari.: 

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Teluk Ketapang, Mohd Razaki Abdullah, 60, berkata, pihaknya telah merujuk masalah itu kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif, Abd Rahman. 

“Beliau (Ahmad Razif) telah mengarahkan saya menyenaraikan semua nelayan terlibat dan kini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya berhubung tindakan yang bakal diambil bagi membantu semua nelayan yang terjejas teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat KPSP, di sini.

No comments:

Post a Comment