Suami isteri ‘bertani’ tanam pokok ganja
SEGAMAT: Kreatif tidak bertempat. Begitulah sepasang suami isteri berusia 31 dan 27 tahun yang berlagak seperti petani moden apabila menanam tujuh pokok ganja secara hidroponik di belakang rumah mereka di Bandar Putra, di sini.
Dalam serbuan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, jam 11.30 malam Jumaat lalu, pasangan itu juga memiliki 1.3 gram dadah sama.
Difahamkan, dadah itu hendak digunakan terbabit untuk pembenihan semula berikutan penemuan tujuh pokok ganja yang disemai lebih seminggu lalu.
Mereka menggunakan alasan mahu melakukan uji kaji tanpa mengetahui pokok itu dadah terlarang.
Serbuan itu merencatkan cita-cita mereka yang baru menceburi penanaman dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, ketika serbuan pihaknya mendapati pokok berkenaan disemai dalam kotak lut sinar menggunakan kaedah hidroponik yang tidak memerlukan tanah. Pasangan suami isteri berusia 31 dan 27 tahun itu menjadikan alasan kononnya terpaksa menanam tumbuhan itu untuk melakukan uji kaji dan mereka juga tidak mengetahui pokok itu dadah terlarang.
“Kes ini pertama kali berlaku dan membuktikan pengedar dadah sekarang melakukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya. Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pasangan itu menanam marijuana itu untuk kegunaan sendiri.
“Siasatan lanjut juga mendapati tumbuhan itu baru ditanam mereka sekitar enam hingga tujuh hari lalu, malah mereka juga baru selesai mengasingkan biji benih yang diperoleh melalui sebungkus plastik berisi ganja yang dibeli beberapa minggu sebelum itu,: katanya.
Abdul Majid berkata, pasangan itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup serta enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment