Aktivis pro-Palestin telah berikrar akan melakukan percubaan lagi untuk melanggar sekatan rejim Zionis untuk memasuki Gaza, sekalipun misi terbaru mereka berakhir dengan pertumpahan darah semalam.
"Kami tidak akan membenarkan mana-mana kapal bantuan untuk sampai ke Gaza dan menghantar bekalan ke wilayah yang sudah menjadi pangkalan pengganas yang mengancam Israel," kata Timbalan Menteri Pertahanan Israel, Matan Vilnai.
Beliau membuat kenyataan itu ketika penganjur 'Flotila Gaza' mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang menjalankan persiapan untuk menghantar dua lagi kapal bantuan ke Gaza, walaupun sembilan aktivis mereka dibunuh oleh komando Israel dalam serbuan ke atas kapal Turki, Mavi Marmara semalam.
Greta Berlin daripada Gerakan Bebaskan Gaza berkata, percubaan bagi melanggar sekatan untuk memasuki wilayah Palestin itu akan dilakukan dalam masa beberapa hari lagi.
"Kapal kargo Rachel Corrie kini berada di perairan Itali, manakala sebuah bot lagi masih dibaiki," katanya.
Sementara itu seorang komander tentera laut Israel berkata, anggotanya sudah bersedia untuk menghalang kapal Rachel Corrie dari memasuki perairan Gaza dan tidak akan teragak-agak untuk berkonfrontasi dengan aktivis, sekalipun serbuan ke atas kapal Mavi Marmara menyebabkan kematian.
Radio Tentera Israel melaporkan bahawa kapal Rachel Corrie dijangka tiba di perairan Gaza esok.
Seorang leftenan marin memberitahu radio tersebut, dia menjangka kapal itu akan ditawan dengan mudah.
Dalam siaran di Internet dari Ireland pada 20 April lalu, Global Peace Organisation berkata,Rachel Corrie dibeli oleh Gerakan Bebaskan Gaza untuk menyertai flotila bantuan itu. - REUTERS
No comments:
Post a Comment