MELAKA: Lebih 5,000 penduduk Taman Krubong Jaya, dekat sini, mendakwa terpaksa menghidu bau najis ayam setiap hari dipercayai berpunca daripada sebuah ladang ternakan haiwan itu kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Lebih mengecewakan apabila masalah pencemaran bau berkenaan belum selesai menjelang perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Stadium Hang Jebat di sini, pada 10 Jun ini, sekali gus akan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengunjung, atlit mahupun pegawai.
Lokasi ladang terbabit hampir dengan stadium utama berkenaan termasuk venue kolam renang, acara balapan dan bola sepak.
Difahamkan, masalah berkenaan berlarutan sejak lima tahun lalu dan sudah diadukan kepada kerajaan negeri untuk tindakan, tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian.
Penduduk, Mat Nasir, 74, berkata dia sekeluarga sudah tidak sanggup menghidu bau busuk najis ayam dan paling ketara dihadapinya ketika menjelang waktu senja sehingga ke malam.
“Mungkin tiada penyelesaian disebabkan tanah milik dia (pengusaha), tetapi mereka perlu menjaga kepentingan masyarakat di sini. “Sudah banyak kali kami laporkan permasalahan yang tiada penyelesaian ini termasuk kepada wakil rakyat kawasan, namun sehingga ke hari ini ia bagaikan mencurah ‘air di daun keladi’ kerana langsung tiada tindakan,” katanya.
Katanya, pada masa ini, ada penduduk mengadu sering sesak nafas yang didakwa akibat pencemaran bau daripada ladang ayam itu hingga kadang kala makan pun langsung tidak berselera.
Penduduk lain, Ah Meng, 46, mendakwa kesan daripada najis ayam berkenaan menyebabkan persekitaran kawasan taman perumahan mereka dihinggapi lalat yang dibimbangi boleh mengundang penyakit.
Menurutnya, pihaknya kini sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana sudah tidak tertanggung dengan derita sedangkan pihak berkuasa seolah-olah langsung tidak mengambil tahu masalah mereka.
“Masalah ini bukan saja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian, tetapi dikhuatiri akan mengancam kesihatan dalam jangka panjang. Keadaan menjadi lebih buruk pada musim hujan kerana bau najis ayam semakin kuat dan kami sudah tidak tahan lagi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, M Das, 43, berkata, akibat tidak tahan bau busuk berkenaan, dia terpaksa menutup semua tingkap dan pintu sepanjang masa untuk mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
“Jika orang lain setiap hari makan ayam, tetapi saya sekeluarga pula terpaksa menghidu najis ayam. Kami sudah lama bersabar berikutan aduan demi aduan umpama ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.
“Kadang-kadang saya terpaksa bawa ibu tinggal di rumah adik-beradik lain kerana sudah tidak tahan bau najis ayam dari reban berhampiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment