Wednesday, June 2, 2010

Tindakan Israel hadapi kutukan keras


GESA HENTI BANTU ISRAEL: Aktivis pro-Palestin menunjuk perasaan menggesa Amerika berhenti membantu Israel di luar kedutaan Israel di Washington, kelmarin. -- Foto REUTERS
Mudah cetak
E-mel

2 Jun 2010

LUAR NEGARA

SERANGAN KE ATAS FLOTILA BANTUAN KEMANUSIAN GAZA


Tunjuk perasaan di Australia dan Indonesia bantah serangan ganas

SYDNEY: Australia mengutuk keras semalam serbuan yang dilakukan komando tentera laut Israel ke atas konvoi kapal membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza, yang menyebabkan 10 orang terkorban, kelmarin.'Kerajaan Australia mengutuk penggunaan kekerasan di bawah keadaan yang kami saksikan,' kata Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd, kepada pemberita.'Kami bimbang dengan korban jiwa yang berlaku,' ujar Encik Rudd, yang menggesa Israel menjalankan 'siasatan bebas segera' dan laporannya diserah kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Beliau turut menggesa agar ditamatkan sekatan bekalan kemanusiaan ke Jaluran Gaza.Seorang lelaki rakyat Australia di atas salah sebuah kapal terlibat telah menjalani pembedahan selepas ditembak askar Israel di kaki, manakala dua wartawan Australia selamat selepas mendapat bantuan pejabat konsul Australia, kata Menteri Luar Australia, Encik Stephen Smith, kepada parlimen.Wartawan Sydney Morning Herald itu dan dua wanita Australia telah ditahan di Beersheba, Israel, menurutnya.Beratus-ratus orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Australia mengutuk kekejaman Israel, dan menggesa ditamatkan sekatan ke atas Gaza.Di Indonesia, ribuan penduduk di Jakarta, Bandung dan Madura menunjuk perasaan mengutuk serangan Israel itu.Sekitar 12 aktivis rakyat Indonesia dalam flotila itu dilapor selamat, kata seorang pegawai Kementerian Luar, Encik Teguh Wardoyo.'Kami mengutuk serbuan Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang belayar di perairan antarabangsa,' kata satu kenyataan pemerintah Indonesia.'Sekatan sepihak oleh Israel ke atas Jaluran Gaza sejak Januari 2009 mencabul undang-undang antarabangsa dan menyebabkan kesengsaraan rakyat Palestin yang tidak berdosa,' tambah kenyataan itu.China turut mengutuk serangan Israel itu semalam.'China terkejut dengan serangan Israel. Kami mengutuk tindakan tersebut,' kata jurucakap Kementerian Luarnya, Encik Ma Zhaoxu, dalam satu sidang berita.'China menggesa Israel mematuhi resolusi Majlis Keselamatan dan memperbaiki situasi kemanusiaan di Jaluran Gaza,' ujar Encik Ma, yang menyiftakan situasi di Timur Tengah 'kritikal'.Para menteri luar Asean dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang bersidang di Singapura semalam turut 'mengutuk keras' serangan Israel itu.'Para menteri mengutuk keras serangan dan tindakan ganas Israel di perairan antarabangsa,' kata para menteri luar Asean dan GCC itu, yang termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). -- Agensi.

No comments:

Post a Comment