Saturday, July 24, 2010

Katak minyak sumber rezeki




ANAK katak spesies minyak lebih digemari pembeli.


BAGI sesetengah orang, badan anak katak yang berlendir dan melekit cukup menggelikan. Tidak hairanlah ada yang cukup fobia jika melihat anak katak mahupun katak dewasa. Apatah lagi ada yang terlompat-lompat lantaran geli-geleman dengan haiwan amfibia itu.
Tetapi lain pula ceritanya dengan Azmi Ismail, 55, dari Kampung Selamat, Pulau Pinang. Kepada tukang rumah itu, makhluk dua alam tersebut cukup bernilai kerana ia merupakan sumber rezeki sampingannya untuk menyara keluarga.
Bermula sebagai hobi, hari ini aktiviti menangkap itu menjadi rutinnya sejak 11 tahun lalu jika tidak menerima tempahan membaiki rumah.
Menurut Azmi, beliau memilih keluar pada waktu malam dan pulang ke rumah sekitar pukul 2 hingga pukul 3 pagi kerana haiwan amfibia itu sering keluar mencari makanan pada waktu gelap.
Bertemankan lampu suluh yang diletakkan di dahi, beliau hanya menggunakan sauk khas untuk menangkap anak-anak katak sebelum dimasukkan ke dalam bekas plastik.
Katanya, anak katak spesies katak minyak lebih digemari pembeli.
"Hanya saya seorang sahaja yang menangkap katak di kampung ini, pada mulanya memang terasa agak janggal tapi lama-kelamaan dah jadi biasa," ujarnya.
Mengakui tugas itu bukan mudah, cabaran utama ialah untuk memastikan anak-anak katak tersebut boleh ditangkap hanya dengan sekali sauk sahaja.
Selain bermandi peluh, ada ketikanya Azmi terpaksa bermandi air paya semata-mata mengejar anak-anak katak yang melompat-lompat.
Tidak cukup dengan itu, beliau mengakui perlu lebih berwaspada jika mencari sarang haiwan itu di kawasan lubuk kerana pada masa yang sama katak turut menjadi habuan ular.
Dia yang pernah dipatuk ular semasa menangkap katak beberapa tahun lalu menganggap kejadian itu sebagai risiko yang perlu dihadapi tetapi ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya.
Beliau menafikan mengamalkan sebarang petua sepanjang menyempurnakan tugasnya itu kecuali mengambil kira faktor keselamatan kerana sering bersendirian.
"Nampak mudah tapi tugas menangkap anak-anak katak agak sukar kerana ia memerlukan kesabaran dan kemahiran.
"Ia pantas melompat dari satu tempat ke satu tempat dan perlu mengejarnya di dalam air kawasan berpaya yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan," katanya.
Sehubungan itu, kata Azmi untuk menangkap anak katak, mata mesti pantas melirik untuk meneka arah lompatan mereka.
Jika terlepas kali pertama, ia perlu disauk sekali lagi atau peluang untuk menangkap kumpulan katak itu terpaksa dilupakan," katanya yang mampu menangkap antara 150 hingga 200 ekor sehari.
Menurut Azmi, anak-anak katak itu akan disimpan di dalam akuarium di rumahnya sebelum dijual kepada beberapa kedai ikan. Lazimnya, pekedai terbabit akan menjual katak sebagai umpan kepada pemancing atau dijadikan makanan ikan peliharaan.
"Kebiasaannya seekor katak boleh dijual pada harga 50 sen seekor mengikut saiz dan jika yang bersaiz besar harganya agak mahal sedikit.
"Dengan sekali tangkapan, bolehlah dapat di antara RM30 hingga RM40 tetapi jumlah ini akan meningkat pada musim hujan atau selepas musim mengawan," ujarnya yang mahu meneruskan pekerjaan itu selagi terdaya.

No comments:

Post a Comment