Saturday, July 24, 2010

Pangsapuri Desa Rasah daif, jijik


PANGSAPURI Desa Rasah, Negeri Sembilan ini usang dan tidak terurus walaupun masih ada yang menghuninya.


RASAH 23 Julai - Bagaikan pangsapuri berhantu kerana keadaan sekelilingnya kotor dan menjijikkan tambahan pula sebilangan pokok renek mula hidup meliar di atas bangunan tersebut.
Sekali pandang pasti orang akan menganggap bangunan buruk itu tidak lagi dihuni oleh sesiapa.
Namun itulah hakikatnya, bangunan usang itu masih lagi sudi dihuni oleh segelintir penduduk yang menetap di Pangsapuri Desa Rasah ini.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan selama beberapa hari mendapati, sampah-sarap bertaburan selain longkang penuh dengan sampah yang menyebabkan aliran air tersumbat.
Maka tidak hairanlah jika penghuni di pangsapuri berkenaan sering mendapat penyakit seperti demam denggi.
Lebih memburukkan keadaan, unit yang tiada penghuni pula dipenuhi sampah-sarap dan besi-besi paip manakala cermin tingkap lopong akibat dicuri.
Turut membimbangkan, sistem keselamatan tidak diselenggara buat penghuni yang masih lagi menduduki rumah berkenaan kerana segala kemudahan dan pili bomba tidak boleh berfungsi dengan baik.
Menurut seorang penghuni, Lu Hing Ba, 60, yang menetap di pangsapuri berkenaan sejak 1983, keadaan ini sudah pastinya akan menyebabkan pelbagai masalah lebih-lebih lagi membabitkan isu keselamatan.
''Malah kes demam denggi banyak berlaku di kawasan ini. Bahkan anak saya sendiri baru sahaja masuk hospital kerana denggi disebabkan keadaan kawasan yang teruk dan banyak sampah.
''Paling membimbangkan pada waktu malam, kerana di sini tiada lampu jalan dan takut berlaku kecurian dan sudah pasti penduduk tidak boleh lagi bersabar dengan keadaan seperti ini," katanya di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Siti Haliza Hassan, 56, berkata, keadaan di sini bertukar menjadi teruk selepas penghuni berpindah ke tempat lain.
''Dahulu pangsapuri ini sangat cantik dan ramai yang duduk menyewanya, termasuk askar dan jururawat. Selepas ketiadaan mereka, pangsapuri ini bertukar menjadi sangat teruk dan menjijikkan dan ia berlaku sejak 10 tahun lalu.
''Di tingkat atas bangunan pun tidak ramai yang duduk kerana peralatan dan kemudahan yang ada telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,'' katanya.
Kata Siti Haliza, lebih memburukkan apabila waktu hujan, keluarganya terpaksa menadah tong air kerana tingkat atas bangunan bocor dan menyebabkan air mengalir ke rumah bawah.
''Kalau bercerita pasal nyamuk pula, memang banyak. Jika kita lihat keadaan ini sendiri pun sudah boleh bayangkan betapa teruknya tempat ini. Tetapi terpaksa juga kami duduk kerana telah lama menetap di sini.
''Kami juga mengambil inisiatif membersihkan kawasan berhampiran rumah untuk memberi keselesaan," ujarnya.
Menurutnya, rata-rata penduduk sudah tidak tahu di mana untuk mengadu nasib mereka dan mahu pihak berkuasa tempatan campur tangan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi selama ini.
Seorang lagi penduduk, Suri Masori, 37, berkata, jika dahulu kawasan ini lengkap dengan kemudahan namun kini kawasan ini 'bagaikan hidup segan mati tak mahu' gara-gara dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
''Malahan penghadang besi tangga dan saluran paip utama pun telah habis dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
''Lebih merumitkan terdapat tangki najis yang tersumbat yang menyebabkan nyamuk bertelur,'' tambahnya.
Bagi seorang penduduk kawasan berhampiran, Muthu Kumar, 52, pula, walaupun sekadar tinggal berhampiran dengan pangsapuri ini, beliau dapat merasai kesusahan yang dihadapi penduduknya.
''Banyak juga kes demam denggi dilaporkan walaupun Jabatan Kesihatan kerap kali membuat pemeriksaan di sini.
''Sepatutnya pangsapuri ini perlu diselenggara dengan baik dan bukannya hanya dibiarkan dan ini menyebabkan rasa kurang selesa pada penduduk kawasan sekitar," ujarnya.

No comments:

Post a Comment