Saturday, July 24, 2010

KM nafi bangkit isu tempat duduk



2010/07/24

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam menafikan pernah membuat tuduhan bahawa Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis pelancaran kerja menaiktaraf perkhidmatan kereta api Bukit Bendera, 20 Oktober lalu. 

Sebaliknya, Guan Eng mencabar media mengemukakan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik Nik Ali kerana tidak menyediakan tempat duduknya.

“Bila saya bangkitkan perkara itu (tiada tempat duduk)? Boleh tunjukkan bukti saya pernah membangkitkan isu itu. Media tolong laporkan perkara yang betul dan bukan remeh seperti ini.
“Saya tidak pernah bangkitkan isu tempat duduk ini. Hanya tiga isu saja iaitu isu perlombongan pasir di Balik Pulau, pintu gerbang Taman Botani dan pembinaan Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU),” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. 

Kenyataan itu dibuatnya selepas beberapa media menyiarkan gambarnya duduk bersebelahan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada majlis itu yang membuktikan ada kerusi disediakan buatnya. 

Guan Eng berkata, isu berkenaan hanya berdasarkan kenyataan satu pihak saja dan cuba dimainkan oleh media bagi mengalihkan isu sebenar mengenai prestasi Nik Ali yang tidak kompeten. 

Katanya, ada pihak cuba menyembunyikan kesalahan pegawai kerajaan itu dengan menimbulkan isu lain bagi mengalih perhatian rakyat untuk melepaskan diri daripada dilihat tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. 
Mengulas serangan berterusan terhadap Nik Ali, Guan Eng berkata, ia hanya teguran kepada pegawai kerajaan yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. 

Guan Eng berkata, beliau menyerahkan hal itu kepada peguamnya bagi meneliti laporan akhbar sama ada mengandungi perkara yang boleh menjejaskan imejnya sebagai Ketua Menteri. 

No comments:

Post a Comment