Saturday, July 24, 2010

Pas, UMNO perlu bersaing cara sihat



SHAH ALAM – Beri peluang kepada Pas dan UMNO untuk bersaing secara positif serta berada di bawah parti masing-masing bagi mewujudkan perpaduan Melayu, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. 

“Pada saya, persaingan yang wujud adalah persaingan yang sihat dan tidak pernah terjadi dalam sejarah berlakunya pertumpahan darah membabitkan kedua-dua parti sejak ia ditubuhkan. 

“Pas dan UMNO hanya bertelingkah dalam parti sahaja, namun pengikut kedua-dua parti dapat duduk semeja dan saling bertukar pendapat,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:. 

Menurutnya, Pas pernah bergabung dengan UMNO dalam isu keselamatan negara ketika terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, tetapi setelah UMNO mencapai kedudukan yang kukuh, parti itu bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’. 

“Sekarang UMNO berada dalam keadaan terdesak dan kerana itulah kembali mencari serta memporak-perandakan kedudukan Pas di dalam Perikatan Rakyat (PR),” katanya. 

Kelmarin, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata, Pas digesa supaya tidak terlalu terkongkong dengan sejarah permusuhan lama antara parti itu dengan UMNO sehingga menggagalkan usaha perpaduan yang dituntut oleh seluruh masyarakat Melayu. 

Pas perlu berfikiran terbuka kerana semua pihak termasuk mufti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu telah menyuarakan gesaan supaya kedua-dua parti itu mengadakan perbincangan.

No comments:

Post a Comment