24/07/2010 3:36pm
KUALA LUMPUR 24 Julai - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu
hari ini berkata, kemasukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Senator Datuk T. Murugiah ke dalam MIC mendapat restu majoriti anggota parti.
"Banyak anggota parti menerima keputusan itu termasuk dari kalangan
ketua-ketua bahagian," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan seminar Pendaftaran Pengundi Baru untuk ketua-ketua bahagian MIC di sini.
MIC telah menerima permohonan bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Murugiah untuk menjadi anggota parti itu Khamis lepas.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sebilangan anggota MIC yang tidak
berpuas hati dengan keputusan kepimpinan parti menerima permohonan Murugiah.
"Kalau saya kata kesemua anggota MIC menyokong keputusan itu ia merupakan satu pembohongan yang besar," katanya.
Murugiah menyertai MIC setelah dipecat oleh Presiden PPP, Datuk M. Kayveas
tahun lepas dalam satu krisis perebutan jawatan presiden parti.
Samy Vellu percaya dengan satu lagi tambahan jawatan timbalan menteri dari kalangan pemimpin MIC, kesemua rancangan parti dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Ditanya mengenai cadangan Murugiah untuk membawa masuk seramai 200,000 penyokongnya menganggotai MIC, Samy berkata, beliau tidak ada halangan terhadap perkara itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment