Saturday, July 24, 2010
Lemas akibat tergelincir
KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dan sawan ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Bechah Mulong, dekat sini, pagi semalam.
Salleh Ismail, 55, ditemui terdampar di dasar tali air oleh Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dengan kerjasama pasukan daripada Balai Bomba Ketereh, kira-kira jam 10.35 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sebaik menerima panggilan telefon daripada orang ramai, kira-kira jam 10.18 pagi semalam.
Beliau berkata, kejadian disedari oleh penduduk kampung selepas melihat mangsa yang berada di tepi tali air tiba-tiba terjatuh dan terus tenggelam.
“Selepas hampir 15 minit gerakan mencari mangsa dilakukan, mangsa ditemui di dasar tali air dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa yang berpakaian kemeja T dan berkain pelikat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat,” katanya.
Azman memaklumkan kejadian berkenaan disedari oleh penduduk berada di kawasan berdekatan lalu bergegas memberitahu adik perempuannya Zaiton Ismail, 51, yang ketika itu berada di rumah terletak tidak jauh dari lokasi kejadian
Sementara itu, bapa mangsa, yang dikenali dengan Ismail, 70, ketika ditemui di HRPZ II semalam enggan mengulas lanjut kerana ketika kejadian, dia berada di Kampung Jedok, Tanah Merah.
Difahamkan, mangsa sudah lama menghidap sawan dan dia tinggal bersendirian di rumah berkenaan yang tidak jauh dari tempat kejadian.
Zaiton memaklumkan adiknya sebelum ini sering berkeliaran di kawasan situ dan ia berlaku selepas mangsa mengalami kekejangan akibat sawan lalu terjatuh ke dalam tali air.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment