Saturday, July 24, 2010

Tindakan Guan Eng kritik Nik Ali tak profesional


Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my 
2010/07/24

Masalah dengan pegawai Pusat wajar diselesai secara berhemah 

PUTRAJAYA: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berulang kali mengkritik dan menuduh Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus secara terbuka, disifatkan sebagai tidak profesional.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata sebagai ketua kerajaan negeri, Guan Eng perlu mempunyai hubungan baik dengan pegawai Persekutuan dan tindakannya terhadap Nik Ali itu jelas menunjukkan pemimpin DAP itu hanya pandai berpolemik.
Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sekiranya wujud masalah dengan pegawai Persekutuan, Guan Eng sepatutnya menyelesaikan secara terus dengan pegawai berkenaan atau agensi terbabit dan bukan dengan cara mengkritik secara terbuka. 

"Saya masih ingat dulu apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, (Tun) Dr Lim Chong Eu ketika itu daripada parti pembangkang, tetapi beliau bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat. 

"Perselisihan seperti ini tidak pernah berlaku walaupun beliau (Chong Eu) mengkritik, tetapi secara dalaman dalam mesyuarat atau secara perseorangan, bukannya terbuka seperti ini. Seharusnya ia diuruskan dengan profesional jika ada masalah," katanya selepas melancarkan risalah Perlembagaanku-Buku Panduan Rakyat anjuran Majlis Peguam, di sini, semalam. 

Pertelingkahan antara Guan Eng dan Nik Ali semakin tegang apabila mesyuarat Exco Pulau Pinang Rabu lalu, memutuskan perkhidmatan SDO itu tidak lagi diperlukan di negeri itu. 
Lebih memburukkan keadaan apabila Guan Eng turut mengkritik Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan selepas beliau mempertahankan tindakan Nik Ali. 

Pertelingkahan itu bermula apabila Guan Eng beberapa kali menyerang Nik Ali secara terbuka, termasuk menuduh SDO itu tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis pelancaran projek Kereta Api Bukit Bendera, 20 Oktober lalu. Tuduhan Guan Eng bagaimanapun disangkal beberapa pegawai kerajaan yang turut hadir pada majlis itu. 

Tsu Koon berkata, tindakan Nik Ali yang membalas kritikan Guan Eng di media adalah sesuatu yang terpaksa dilakukan untuk mempertahankan kredibilitinya sebagai pegawai Persekutuan. 

Mengenai desakan pelbagai pihak supaya menggugurkan 'agama' daripada Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama, Koh berkata, perkara itu masih dibincangkan. 

"Biarlah mereka berbincang antara mereka dulu. Semua pihak perlu bersabar mengenai perkara yang sensitif seperti ini," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan tidak memberi sebarang tempoh untuk mendapatkan nama baru bagi jawatankuasa berkenaan. 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang antara lain sebagai wadah rasmi semua wakil penganut agama berbincang, memberi penjelasan atau menyatakan pendirian berhubung apa saja permasalahan berkaitan. 

No comments:

Post a Comment