Saturday, July 24, 2010

Pelajar USM wakil tunggal Gaza


GEORGE TOWN - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi wakil tunggal pelajar universiti di Malaysia yang terpilih menyertai konvoi “Ramadan di Gaza: Ramadan March For Freedom” pada 6 hingga 18 Ogos ini.

Mohd Nur Hadi, 24, pelajar Sarjana Sains Farmakologi berkata, beliau berasa gembira dan bertuah dipilih untuk menyertai konvoi misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA) itu untuk meletakkan batu asas pembinaan sebuah hospital di Gaza.

"Misi utama konvoi ini adalah untuk meletakkan batu asas bagi membina sebuah hospital yang pembinaannya akan dibuat melalui hasil sumbangan masyarakat seluruh dunia.

"Selain itu misi berkenaan juga turut menghantar bantuan ubat-ubatan dan makanan," kata anak kelahiran Tawau, Sabah itu pada sidang akhbar di USM, hari ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Hadi berkata, beliau bersyukur kerana terpilih menyertai konvoi berkenaan tambahan pula diadakan pada bulan Ramadan dan akan ke sana melalui jalan darat menerusi pintu Rafah sempadan Gaza, Palestin bersama–sama 40 rakyat Malaysia.

"Ini adalah satu cabaran kepada saya dalam mencari pengalaman sebagai seorang pelajar untuk menyelami permasalahan dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya yang sangat aktif dalam bidang kesukarelawan.

Hadi juga anggota Pertubuhan Aman-Pattani (AMANI) sebuah badan bertindak terhadap isu konflik selatan Thailand yang digerakkan di bawah naungan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bagi menggerakkan usaha yang lebih serius untuk menyalurkan bantuan serta sokongan padu terhadap masyarakat di selatan Thai.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata, pihaknya sememangnya menggalakkan pelajar menyertai aktiviti kemasyarakatan bagi memahami kehidupan masyarakat sekeliling selain hanya memfokuskan kepada prestasi akademik semata-mata.

"Kita menyokong hasrat pelajar menyertai aktiviti sebegini kerana ia adalah sebahagian bentuk pendidikan yang boleh digunakan dan dikongsikan dengan pelajar lain melalui pengalaman yang dilaluinya nanti," katanya.

Katanya, pendidikan bukan hanya kepada akademik tetapi juga berdasarkan pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan kerana ia berbeza dari hanya bercakap tetapi tidak mempraktiskannya. 

Beliau berkata, USM akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan Hadi sepanjang menyertai konvoi berkenaan kerana beliau pergi dengan membawa status pelajar universiti itu.

No comments:

Post a Comment