Saturday, July 24, 2010

Sekolah untuk pelajar hamil pulak dah, lepas tu sekolah untuk cik gu hamil

Melaka tubuh sekolah pelajar hamil

MELAKA 23 Julai - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau mereka berkahwin pada usia muda.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau serius mewujudkan sekolah tersebut kerana ia bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang kini semakin berleluasa.
Menurut beliau, adalah lebih baik remaja-remaja yang bermasalah itu terus bersekolah daripada terbiar dan mungkin bertindak membuang bayi.
"Cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran kerana undang-undang di negara ini tidak sebut pun bahawa murid yang bersekolah tidak boleh mengandung.
"Saya akan kemukakan cadangan ini dalam tempoh terdekat dan jika kementerian tak setuju, kerajaan negeri sendiri akan tubuhkan sekolah murid mengandung ini," katanya.
Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md. Amin; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Ghazale Mohamad; dan Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu.
SRA JAIM Batang Tiga Timur dibina dengan kos RM1.2 juta dan mula beroperasi pada awal Januari lalu dengan 378 murid.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, selain dibuka kepada remaja di negeri ini, kerajaan negeri juga sedia menerima pelajar mengandung dari negeri lain.
"Kalau ada pelajar dari negeri lain yang mengandung dan nak belajar di sekolah itu pun boleh, kita terima asalkan ia dapat membanteras gejala pembuangan bayi," katanya.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan maksiat daripada terus berlaku dan bukan menggalakkan pelajar berkahwin dan mungkin bercerai pada usia muda.
"Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu pada masalah buang bayi.
"Soal cerai itu nombor dua. Sekarang orang yang kahwin tua pun ramai juga yang dah bercerai," katanya.
Sehubungan itu, katanya, sebagai galakan kepada remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin pada usia muda, kerajaan negeri juga telah mempunyai dasar memberi saguhati kepada pasangan remaja terbabit sebanyak RM500 untuk urusan perkahwinan.
Tambahnya, dasar tersebut telah dibincangkan bersama MAIM dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu.
"Kalau ada remaja yang masih bersekolah dan bercadang berkahwin, kerajaan negeri akan beri mereka RM500 untuk mengadakan kenduri secara ringkas dan kecil-kecilan.
"Bila sudah ramai berkahwin, kita akan tempatkan mereka di sekolah murid mengandung dan untuk teruskan pembelajaran," katanya.

Sekolah khas untuk pelajar mengandung


SEKOLAH khas untuk pelajar mengandung dicadang bagi mengelak berulangnya kes seperti bayi perempuan dalam gambar ini yang ditemui di perhentian bas oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru semalam.


MELAKA - Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran.
Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.
"Kami serius mengenai cadangan ini, jika kementerian tak setuju, kami sendiri akan mengusahakan penubuhannya,'' ujar beliau selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini semalam.
Mohd. Ali berpendapat adalah lebih baik remaja yang mengandung mempunyai saluran meneruskan persekolahan daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran.
Beliau bagaimanapun tidak mahu cadangan itu disalah tafsir sebagai galakan untuk remaja berkahwin atau hamil anak luar nikah.
"Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu mereka buang bayi,'' katanya.
Bagi membantu remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM500 kepada mereka untuk membantu urusan perkahwinan.
"Perkara ini telah dibincangkan bersama MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment