Oleh Ramli Hussin
2010/08/25
BACHOK: Bau busuk dan suasana kotor sekitar tapak pelupusan sampah dekat Beris Lalang di sini, tidak menghalang kira-kira 100 penduduk miskin menjadikan lokasi itu sebagai sumber rezeki terutama menjelang Aidilfitri ini. Tapak pelupusan di Kampung Gong Nibong, Beris Lalang itu, menjadi tumpuan mereka mulai jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, untuk menyelongkar timbunan sampah sambil menaruh harapan menemui apa juga barangan bernilai yang boleh dikitar semula.Untuk mengelak perbalahan sesama sendiri, kumpulan pencari bahan kitar semula itu sepakat membahagikan tapak pelupusan itu kepada dua bahagian iaitu Bachok dan Kota Bharu, mengikut kawasan asal pencari barangan itu.Antara bahan dicari termasuk botol plastik, kaca, tin minuman serta besi buruk untuk dijual kepada peraih yang menanti berhampiran tapak itu. Menerusi usaha itu, pencari bahan kitar semula yang turut membawa ahli keluarga itu mendakwa mampu memperoleh pendapatan sehingga RM60 sehari.
Penduduk Kampung Pantai Dasar Sabak, Tuan Jarah Tuan Ismail, 62, yang sudah 20 tahun melakukan usaha itu, berkata beliau membantu suaminya, Hassan Sulaiman, 65, bagi menambah pendapatan sampingan menyara keluarga dan membesarkan sembilan anak mereka.
Katanya, menerusi usaha menyelongkar timbunan sampah itu, beliau yang berusaha sendirian mampu memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari dan tidak malu dengan pekerjaan itu kerana menjadi punca pendapatan yang halal.
Saya mula mencari bahan kitar semula ini sejak anak bongsu berusia lima bulan, dia kini sudah berusia 20 tahun. Berbekalkan pendapatan daripada usaha mencari bahan kitar semula ini, saya membantu suami membesarkan sembilan anak kami yang kini berusia 20 hingga 35 tahun, katanya yang ditemui di tapak pelupusan sampah itu, semalam.
Rakannya, Noriah Mat San, 52, dari Pengkalan Chepa, datang ke tapak pelupusan sampah itu mulai awal pagi bersama suami dan anak bongsu mereka yang berusia 19 tahun.
Ketika Ramadan ini, kadang-kadang kami turut berbuka puasa di sini. Bergantung kepada keadaan, sekiranya bahan kitar semula banyak maka terpaksa saya tunggu sampai habis sampai lewat malam.
Dari segi pendapatan, boleh dikatakan berbaloi kerana ada ketika, setiap seorang boleh dapat sampai RM70 sehari, katanya.
Bekas pemandu teksi di Kota Bharu, Mohd Faizal Mohd Salleh, 24, beralih menjadikan usaha mengumpul barangan kitar semula itu sejak awal tahun ini.
Kalau dulu, pendapatan hasil memandu kereta sewa setiap bulan ada kalanya tidak sampai RM400 tetapi sejak beralih menjadi pencari bahan kitar semula, perolehan saya mencecah sehingga RM1,500 sebulan.
Ketika mula mencebur diri dulu, memang terasa malu juga lebih-lebih lagi bila rakan tahu pekerjaan baru ini. Namun, demi rezeki halal dan menampung keperluan keluarga, saya buangkan rasa malu itu, katanya sambutan Aidilfitri tahun ini paling bermakna buatnya sekeluarga kerana mampu membeli pelbagai peralatan, termasuk pakaian baru untuk dua anak berusia satu dan tiga tahun.
No comments:
Post a Comment