Wednesday, August 25, 2010

Pencuri didoakan


IBRAHIM Lebon menunjukkan tabung-tabung surau yang digeledah dan disepahkan oleh pencuri yang memecah masuk ke Surau Nurul Falah di Taman Setia Indah, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 24 Ogos – Penduduk Taman Setia Indah di sini menghadapi kes pecah masuk Surau Nurul Falah di kawasan perumahan itu dengan cara tersendiri iaitu mendoakan agar pencuri berkenaan bertaubat.
Lebih 500 jemaah menunaikan solat hajat di surau berkenaan malam tadi untuk mendoakan kebaikan kepada pencuri yang memecah masuk surau itu supaya dia tidak lagi melakukan perbuatan buruk itu.
Pengerusi surau, Mohd. Nazri Wahab berkata, solat hajat itu diadakan secara berjemaah selepas solat maghrib berikutan surau itu dipecah masuk dua kali berturut-turut pada Sabtu dan Isnin lalu.
“Surau ini mengalami kerosakan pada pintu jeriji serta kehilangan wang tunai kira-kira RM300 akibat dipecah masuk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, pencuri tersebut memecah masuk antara pukul 3 hingga 3.30 petang tetapi gagal mencuri sebarang benda kerana terpaksa melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran bilal, Ibrahim Lebon.
Bagaimanapun menurutnya, pencuri tersebut mengulangi perbuatannya pada Isnin lalu dan membawa lari wang tunai dalam tabung bubur lambuk dan tabung harian surau.
“Selain itu, pintu gelongsor dan jeriji turut rosak diumpil serta dipecahkan mengakibatkan kerja-kerja membaiki terpaksa dilakukan dengan menelan belanja kira-kira RM500,” jelasnya.
Nazri berkata, beliau telah membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment