Wednesday, August 25, 2010

Khatib pertahan doa Lim


Oleh Norakmah Mat Youb 

2010/08/25

GEORGETOWN: Khatib Zakaria Ahmad yang menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat, sehingga mencetuskan kontroversi, tetap mempertahankan tindakannya walaupun mengakui pendekatannya tidak sesuai. 

Beliau berkata, berdoa untuk orang bukan Islam supaya diberi hidayah memeluk Islam tidak salah, tetapi akur pendekatan dan tempat digunakan adalah salah.Pendekatan saya salah dan tempat berdoa itu juga silap. Mungkin tidak sesuai dalam khutbah Jumaat. Selepas ini, saya tidak akan mendoakan sebegitu pada khutbah Jumaat, katanya.Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berhubung isu itu di pejabat JHEAIPP di sini, semalam. 

Kontroversi itu timbul selepas UMNO Pulau Pinang mendedahkan penggunaan nama Guan Eng menggantikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid negeri ini, baru-baru ini. 

Zakaria yang juga ahli PAS Perak mengakui melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan ia bukan mendoakan keselamatannya, sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberi hidayah dan memeluk agama Islam. 

Mengulas lanjut, Zakaria menganggap isu itu kecil tetapi diperbesarkan orang politik, berterima kasih kepada MAIPP kerana memberi panduan kepadanya. 
Saya kesal dengan tindakan ahli politik yang cuba menjatuhkan maruah saya dengan melemparkan pelbagai tuduhan. Saya akan menyaman mereka, termasuk media kerana menampakkan seolah-olah saya ini jahil dalam Islam, katanya. 

Zakaria berkata, polis juga sudah mengambil keterangannya di Taiping, Perak, semalam. 

Terdahulu, Zakaria yang tiba di pejabat JHEAIPP kira-kira jam 3 petang memberi penjelasan lebih sejam berhubung perkara itu kepada Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria dan Pengarah JHEAIPP, Sazali Hussein. 

Sementara itu, Ellias berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Zakaria dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat MAIPP. 

Kita memaklumkan kepada Zakaria mengenai kegelisahan dan kesannya. Beliau mengaku melakukannya, bersetuju tidak mengulanginya, katanya. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata siasatan polis berhubung kes itu sudah selesai dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan. 

No comments:

Post a Comment