Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
2010/08/25
CHE MAHMUD (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan KESEDAR kepada Esah yang menjaga sembilan beradik ditinggalkan ibu dan bapa mereka di Kampung Tengah, Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI: Pasangan suami isteri, Mahadi Che Mansor, 31, dan Kasmaliza Kassim, 29, yang meninggalkan sembilan anak setahun lalu, dipercayai berada di Lembah Klang dengan Mahadi bekerja sebagai mekanik motosikal.
Sejak meninggalkan keluarga susulan perselisihan faham, pasangan itu gagal menghubungi anak mereka iaitu Nor Hidayah Mahadi, 13; Amirul Rizal, 11; Afiq Asyraf, 10; Natasha Emilia, 9; kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; Naqiuddin, 3, dan Nia Khalisa, 2.Tujuh daripada sembilan beradik terbabit hanya menumpang kasih datuk mereka, Kassim Mat Diah, 55, dan moyang, Ehsah Hashim, 74, kerana dua lagi saudara mereka dijaga ibu saudara di Seremban dan Kota Bharu.Ehsah berkata, mereka mendapat tahu yang ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di Kuala Lumpur daripada seorang rakan Kasmaliza.
Walaupun Kasmaliza dan Mahadi meninggalkan keluarga secara berasingan, mereka dipercayai bersama ketika ini di Kuala Lumpur kerana Mahadi bekerja sebagai mekanik.
Anak saya, Kassim pernah mencari mereka tetapi tidak berhasil. Sehingga kini, masing-masing tidak pernah berusaha menghubungi kami memaklumkan kedudukan sebenar, hidup atau mati, katanya di Kampung Tengah dekat sini, semalam.
Ehsah berkata, sejak nasib malang yang menimpa sembilan cicitnya itu disiarkan dalam akhbar, ramai pihak menghubungi Kassim menyatakan hasrat menjadikan mereka anak angkat, namun terpaksa ditolak.
Mereka sudah tinggal lama bersama, susah payah tetap saya jaga. Ramai yang ingin mengambil Airin, Adlin dan Naqiuddin, namun saya mohon maaf kepada mereka walaupun menghargai hasrat murni itu, katanya.
Sementara itu, ketika Berita Harian mengunjungi anak-anak berkenaan kelmarin, kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hadir menyampaikan sumbangan dalam bentuk keperluan barangan antaranya beras, biskut dan gula.
Pengurus Pejabat Operasi KESEDAR Mengkebang, Che Mahmud Ismail, berkata pihaknya terpanggil meringankan beban penjaga sembilan anak ini selepas membaca kisah mereka yang disiarkan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).
No comments:
Post a Comment