BUKIT MERTAJAM 24 Ogos - Kita biasa mendengar kisah isteri atau suami yang ditinggalkan pasangan hidup mereka akibat menghidap penyakit atau lumpuh.
Bagaimanapun bagi suri rumah, Rumadiah @ Maziah Othman, 50, kasih sayang terhadap Abdullah Mohd. Fadzil, 53, tidak pernah luntur meskipun suaminya itu lumpuh separuh badan sejak lima tahun lalu.
Malah, Rumadiah menganggap keadaan suaminya itu sebagai ujian Allah untuk membuatkannya lebih kuat dan berani mendepani hidup selain tabah menjaga Abdullah serta tiga anaknya.
Menurut Rumadiah, suaminya lumpuh selepas tiba-tiba terjatuh ketika berjalan dari tempat letak kereta ke rumahnya pada 2006.
''Tiba-tiba dia (Abdullah) rebah di situ dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan ditahan di wad selama dua hari.
''Ketika baru dimasukkan ke hospital, keadaannya masih stabil dan boleh bercakap, tetapi pada sebelah petang hari yang sama tiba-tiba dia diserang strok dan terus tidak boleh bercakap hingga kini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Rumadiah memberitahu, pada mulanya dia berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan suaminya tetapi lama-kelamaan sudah boleh membiasakan diri.
Tambahnya, Abdullah juga sudah boleh menggerakkan anggota badan perlahan-lahan hasil rawatan fisioterapi yang dijalankan secara berkala di hospital dan di rumahnya sejak beberapa tahun lalu.
Ibu kepada tiga anak lelaki berusia 19 hingga 29 tahun itu berkata, sejak suaminya sakit, dia mengambil alih tugas sebagai ketua rumah untuk mencari rezeki.
Selain itu, suaminya turut mendapat bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dengan wang itu dia menggunakannya untuk membeli ubat-ubatan selain untuk perbelanjaan seharian.
Sementara itu, keperitan hidup Rumadiah dan suami mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid yang menghulurkan sumbangan sempena bulan Ramadan ketika mengunjungi rumah pasangan itu semalam.
Abdul Jalil berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) untuk pesakit kronik bagi meringankan beban Abdullah dalam masa terdekat ini.
No comments:
Post a Comment