Wednesday, August 25, 2010

ISU-ISU AKHBAR CINA


Pengetua dan ‘Balik China’
PERISTIWA seorang pengetua sekolah di Kulai Jaya, Johor yang didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan dan boleh pulang ke China mengundang kemarahan masyarakat Cina yang menulis mengenainya di dalam kebanyakan akhbar utama Cina. Antaranya seperti yang tersiar dalam akhbar Sin Chew Jit Poh terbitan 21 Ogos lalu.
Artikel bertajuk Di sini rumah saya, ke mana kamu mahu saya pergi? ditulis oleh Hou Ya Lun. Tulisnya, dalam sambutan kemerdekaan pada bulan Ogos ini, kibaran bendera dapat dilihat di merata tempat. Ia merupakan waktu untuk mengingatkan rakyat negara ini kepada sejarah pembinaan negara. Terbit rasa gembira di dalam jiwa dan tanda kasih sayang kepada tanah air ini.
Namun, satu perkataan yang berbunyi ‘baliklah ke negeri China’ telah menghancurkan suasana kegembiraan itu. Pengetua sekolah yang seharusnya menjadi contoh kepada semua pelajar cuba menghasut dengan kata-kata tersebut.
Ia menunjukkan tingkah laku yang tidak sopan dan mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan serta menyindir kaum lain. Jika semua pelajar boleh menghormati kaum lain di sekolah, kenapa seorang pengetua menunjukkan sikap yang lebih buruk berbanding dengan pelajar-pelajarnya?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersungguh-sungguh mahu menjayakan gagasan 1Malaysia. Konsep itu antaranya menerima semua rakyat berbilang kaum, memahami dan menjalani kehidupan bersama. Kita telah mengharungi lebih 50 tahun proses pembinaan negara.
Rakyat ketika ini seharusnya lebih matang dalam berfikir, toleran dan saling menerima antara satu sama lain.
Namun sehingga hari ini, masih terdengar ada yang mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘pendatang’ dan ‘balik ke China’, seolah-olah kefahaman kerakyatan pada mereka terlalu cetek. Apakah perasaan generasi muda yang lahir di tanah air ini apabila mendengar perkataan-perkataan sebegitu? Jika ia berterusan, apakah perasaan mereka dalam semangat kekitaan terhadap negara ini?
‘‘Kementerian Pelajaran juga mahukan sekolah kebangsaan menjadi pilihan kepada semua rakyat. Malah, sekolah kebangsaan dianggap paling terbaik dalam memupuk semangat perpaduan rakyat. Tetapi tingkah laku pengetua sekolah menengah itu telah membelakangkan konsep pendidikan di negara ini,” tulis Ya Lun.
Masih lagi mengenai isu pengetua sekolah tersebut, akhbar Nanyang Siang Pao pada hari yang sama menyiarkan sebuah artikel yang ditulis oleh Wang Kim Jing bertajuk Bulan puasa balik China. Tulisnya, isu ‘balik China’ seperti mayat yang mahu dihidupkan kembali dan tidak seharusnya dibangkitkan. Sebagai seorang Muslim, bulan Ramadan sepatutnya menyucikan jiwa, mengangkat semangat ikhlas, kasih sayang dan sejahtera. Berpuasa juga dapat menginsafkan jiwa dan rohani, mengangkat semangat kasih sayang, membantu serta menghulurkan keikhlasan kepada orang miskin.
Tetapi apabila orang yang berpuasa memarahi orang lain dengan perkataan ‘balik China’, ia sesuatu yang amat menyedihkan. Iman mereka juga tidak sampai ke tahap sepatutnya. Sepatutnya mereka memikirkan dan merenung maksud sebenar bulan Ramadan.
Akhbar yang sama pada keesokan hari iaitu terbitan 23 Ogos turut menyiarkan sebuah artikel yang ditulis oleh Hong Ku Lin bertajuk Isu kebangkitan rasis dalam pendidikan.
Tulis Ku Lin, isu perkauman kini telah menular ke sekolah-sekolah. Kita perlu berwaspada kerana dalam sistem pelajaran negara ketika ini telah wujud pemikiran rasis dan fanatik di kalangan mereka yang bergelar guru dan pengetua sekolah.
Kejadian itu pula berlaku di sekolah milik kerajaan sekali gus membuktikan sistem pendidikan kerajaan gagal, banyak kelemahan dan kebocoran. Ia juga melahirkan kakitangan yang tidak berhati-hati ketika menjalankan tugas.
Perdana Menteri perlu memandang serius terhadap isu seperti ini supaya konsep 1Malaysia tidak menjadi omongan kosong dan hanya nampak tersergam indah tetapi di dalamnya kosong.
Doktrin Cintakan Bendera
Timbalan Editor Sin Chew Jit Poh, Tay Ting Hian menerusi ruangan pendapat akhbar itu terbitan 20 Ogos lalu menulis sebuah artikel mengenai semangat kemerdekaan dan kibaran bendera.
Artikel bertajuk Doktrin cintakan negara itu merupakan reaksi kepada arahan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim yang didakwa dengan kuasa yang ada padanya mengarahkan orang awam dalam kawasan itu memasang bendera. Roshidi beranggapan ia merupakan tindakan yang menunjukkan rasa cinta kepada tanah air.
Tetapi tulis Ting Hian, bagi orang yang berfikiran bebas, bendera itu bukan sahaja secebis kain, malah lukisan padanya juga tidak nampak berinovasi. Ting Hian turut menarik perhatian mengenai perbezaan cintakan negara dan cintakan bendera ini dengan sebuah peristiwa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada 1963.
Pada satu hari, dua beradik masing-masing berumur 12 dan 10 tahun enggan tunduk dan memberikan hormat kepada bendera AS semasa upacara mengibarkan bendera kerana menyalahi agama mereka. Akibatnya, mereka dibuang sekolah tetapi keluarga dua beradik itu menyaman pihak sekolah dan akhirnya menang.
Ketua hakim ketika itu tidak melihat kes tersebut dari sudut agama, sebaliknya kebebasan bersuara dan pendirian. Menurut ketua hakim, memberi hormat kepada bendera adalah cara dan pilihan seseorang dan tidak boleh dipaksa seseorang untuk melakukannya. Jika tidak, ia melanggar peraturan dan kebebasan bersuara dan melanggar Akta Hak Kebebasan Manusia dalam perlembagaan AS.
Selepas peristiwa itu, rakyat AS tidak lagi dipaksa mengibarkan bendera atau tunduk dan tabik hormat kepada bendera mereka. ‘‘Konsep dan peradaban manusia inilah yang sepatutnya dipelajari oleh Datuk Bandar Ipoh,” tulis Ting Hian.
‘Usahawan Melayu Tulen Susah Ditemui’
Akhbar Nanyang Siang Pao menerusi ruangan kata-kata hikmah siaran 17 Ogos lalu memetik kata-kata Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung. Tajuk kata-kata hikmat itu ialah ‘Secebis ayat terus terungkai’. Katanya, bukan mudah untuk usahawan Cina mendapatkan rakan kongsi daripada usahawan Melayu. Oleh kerana kedudukan dan cara hidup usahawan Melayu mempunyai tabiat tersendiri, orang Cina pula mempunyai ciri-ciri dan tabiat yang rajin serta gigih, maka ada banyak perbezaannya.

No comments:

Post a Comment