KOTA BHARU 24 Ogos - Pertikaian Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) dengan Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang mendakwa waris ketujuh Puteri Saadong, dianggap selesai apabila kedua-dua pihak bertemu buat kali pertama di sini semalam.
Malah PKRJK bersedia menjalin hubungan lebih erat berdasarkan tali persaudaraan seagama di samping menjalankan penyelidikan mencari kesahihan dakwaan gadis tersebut.
Penyelidikan itu membabitkan bahan bukti dalam simpanan Tengku Putri Anis, selain manuskrip, pedang dan kalung peninggalan Puteri Saadong serta keturunannya yang berada di Indonesia.
Keputusan dicapai antara Setiausaha Agung PKRJK, Tengku Mohamad Nor Hamzah Engku Husin dan beberapa ahli jawatankuasanya dengan Raja Tengku Putri Anis yang turut disertai ibu bapanya, Raja Fauziah Raja Yaacob dan Raja Sazali Raja Hasan serta ahli keluarga lain.
Tengku Mohamad Nor Hamzah berkata, selepas mendengar penjelasan Putri Anis berhubung dakwaannya sebagai pewaris ketujuh Puteri Saadong, PKRJK bersetuju menyelidik bukti-bukti dalam simpanannya.
"Sebelum ini banyak andaian, ditambah pula kemunculan sebagai pewaris ketujuh Puteri Saadong secara tiba-tiba, ia mengejutkan banyak pihak," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Difahamkan, pertemuan semalam susulan dialog melalui laman web sosial Facebook antara kedua-dua belah pihak sebelum ini.
Dalam pertemuan itu, PKRJK mengalu-alukan penglibatan Raja Tengku Putri Anis dalam kegiatan amal dan sosial di negeri ini termasuk cadangan menubuhkan Yayasan Nusantara Jaya (YNJ) sebagai medium perantara membantu golongan yang memerlukan.
"Jika ia benar-benar dilaksanakan, PKRJK akan menyokong kerana ia untuk kebaikan semua pihak," ujarnya.
Sementara itu, Raja Tengku Putri Anis menganggap keputusan PKRJK satu perkembangan positif hasil.
"Persetujuan PKRJK berbincang dari hati ke hati adalah petanda baik sebagai langkah memelihara susur galur keturunan kerabat diraja," katanya.
Raja Tengku Putri Anis mengaku kehadirannya ke negeri ini untuk membuat pengakuan kepada umum adalah bersempena berakhirnya sumpahan tujuh keturunan Puteri Saadong selepas 420 tahun mengikut kalendar Nusantara.
Ia dibuat melalui pemasyhurannya sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia Jun lalu.
Dakwanya, kemunculannya sebagai waris ketujuh Puteri Saadong dalam pengetahuan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Penasihat PKRJK.
Habis
No comments:
Post a Comment