2010/08/25
PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia diminta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bukan sahaja nama baik Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini."Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang amat kita hargai," katanya kepada pemberita selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara.
Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment