Wednesday, September 22, 2010

Anak Sarina nafi ibu tak restu




BUKIT MERTAJAM – Hubungan Allahyarham Sarina Jaafar, 45, pengusaha kosmetik jenama Aveer yang ditemui mati tergantung Sabtu lalu, dengan bakal menantunya tidak menghadapi sebarang masalah malah dia juga dikatakan merestui perkahwinan anak sulungnya, Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, dengan gadis berkenaan. 

Mohd Azrul berkata, kenyataan ibunya tidak bersetuju dengan perkahwinan itu adalah tidak tepat. 

"Ibu adalah seorang yang suka berterus-terang. Kalau ada apa-apa, sudah tentu dia bercakap terus dengan saya dan saya sendiri juga tidak akan buat apa yang ibu tidak suka," katanya. 

Mohd Azrul berkata, Allahyarham juga yang beria-ia buat persiapan untuk perkahwinannya Januari depan. 

"Malah tarikh itu, ibu sendiri yang tetapkan," katanya ketika dihubungi petang semalam. 

Kematian Sarina menarik perhatian ramai apabila Allahyarham diketahui pernah menjadi rakan niaga kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh bersama tiga lelaki di sebuah ladang di Banting, Selangor, baru-baru ini, 

Mohd Azrul berkata, hubungan mesra antara bakal isteri yang dia meminta tidak disiarkan namanya itu dengan ibunya dibuktikan lagi apabila mereka pernah berjumpa dan berbuka puasa bersama. 

Mohd Azrul berkata, ibunya juga ada berbual melalui telefon dengan bakal isterinya petang Jumaat lalu, sehari sebelum dia ditemui tergantung dan beberapa kali berpesan supaya bakal isterinya itu dapat menjaga dirinya yang mesra dipanggil Dat dengan baik. 

"Saya juga sempat berbual bersama arwah ibu Khamis lalu, tetapi tidak menyangka dia akan pergi dua hari selepas itu," katanya dalam nada perlahan. 

Mohd Azrul berkata, beberapa hari sebelum meninggal dunia, ibunya ada menunjukkan perubahan dan sering bercakap soal mati, namun dia dan adik-adiknya tidak begitu mengambil berat mengenai perkara itu dan hanya beranggapan ia cakap-cakap biasa saja, sehinggalah pada hari kematiannya.

No comments:

Post a Comment